JOHOR BAHRU – Hampir 100 riders atau penghantar makanan, di sini, bukan sahaja bersyukur, malah gembira apabila menerima sumbangan minyak secara percuma yang disumbangkan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau.
Muhd Idham Dinie,19, memberitahu, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu itu melalui rakan-rakan ‘riders’ yang lain.
“Alhamdulilallah memang gembira dan bersyukur sangat bila dapat tahu ada individu nak beri minyak penuh dengan percuma kepada kami.
“Saya dapat tahu semalam daripada kawan, jadi kebetulan tengah hari ini dapat order di kawasan yang terlibat dengan pemberian minyak percuma, saya singgah sekali. Memang gembira.
“Selalu kalau penuh bawah RM8, macam ini pun dapat bantu saya pusing banyak trip. Terima kasih sangat kepada abang-abang yang bantu dan ingat pada kami,”katanya yang baru sebulan bekerja sebagai penghantar makanan ketika ditemui di Taman Cahaya, Masai, dekat sini.
Sementara itu, Rizal Mohd Yasin, 32, dia tidak menyangka masih ada individu yang mengingati golongan seperti mereka.
Beliau berkata, secara peribadi pemberian minyak percuma memberi kelegaan buat insan sepertinya.
“Alhamdulilallahkan tidak perlu keluar modal hari ini, saya ucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Tebrau dan pada semua.
“Gembira sangat sebab jarang dapat bantuan sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, Program Santuni Rider itu diadakan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Keselamatan Komuniti Daerah Sri Alam dan Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor Cawangan Tebaru.
Katanya, pemuda UMNO Tebrau juga akan memperluaskan pemberian minyak percuma di seluruh kawasan Tebrau.
Ini kerana mereka memahami situasi masyarakat terutama anak muda yang bersusah payah bekerja demi sesuap nasi, ujarnya.
“Hari ini kita sumbang makanan Raya Aidiladha dan isi minyak secara percuma, ia secara langsung dapat membantu rider-rider dalam mengurangkan beban ekonomi sewaktu berhadapan masalah yang di hadapi kini.
“Jadi Pemuda UMNO bahagian Tebrau dapat bersama menyantuni rider dalam memastikan beban mereka dapat kita bantu.
“Kita akan perluaskan di seluruh Tebrau yang mana untuk makluman semua di mana Tebrau ini terdapat dua DUN jadi kita fokus di DUN Putri Wangsa dan hari ini di DUN Tiram,” katanya.
Terdahulu Pemuda UMNO Tebrau menyampaikan sumbangan makanan berupa rendang dan ketupat untuk kira-kira 100 penghantar makanan, termasuk di balai polis dalam DUN Tiram. -MalaysiaGazette