File picture

TERDAPAT 1,099 kes bunuh diri yang telah berlaku sejak 2020 sehingga Mei 2021. Angka ini sangatlah menggusarkan ramai pihak dan mangsa yang terlibat pula berumur dari seawal 15 tahun hingga lingkungan 40-an.

Antara tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri ini adalah disebabkan
masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan. Kejadian yang berlaku ini sudah tentu memerlukan semua pihak bertanggungjawab terutamanya masyarakat untuk mencegah ia daripada berlaku dalam keluarga dan komuniti.

Definisi dan persepsi

Bunuh diri adalah satu perbuatan yang dilakukan untuk meragut nyawa sendiri dengan
harapan masalah yang dihadapi akan selesai. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai perbuatan spontan yang timbul apabila seseorang itu tidak dapat mengawal emosi, berputus asa dan menganggap bahawa kehidupannya sudah tidak berguna dan tidak boleh diteruskan lagi. Ia dilihat sebagai satu-satunya jalan keluar akibat daripada bebanan emosi atau fizikal yang dihadapi oleh mangsa.

Bunuh diri juga dikategorikan sebagai aktif dan pasif yang mana aktif bermaksud seseorang itu melakukan tindakan fizikal sehingga meragut nyawa. Bunuh diri pasif pula berlaku apabila seseorang mengambil tindakan mengabaikan keperluan dan penjagaan diri sendiri seperti tidak makan, bergaul atau duduk terkurung di dalam bilik dengan harapan akhirnya mereka akan mati.

Mungkin masyarakat menganggap perbuatan bunuh diri ini adalah tindakan yang bodoh,
namun sesungguhnya si pelaku sudah melalui pelbagai tekanan sehingga mendorongnya
bertindak sedemikian. Orang yang bercakap tentang keinginan membunuh diri juga bukanlah ingin mencari perhatian.

Namun mereka memang sedang meminta tolong dan betul-betul ingin dibantu kerana pertimbangan dan akal sihat mereka telah dikaburi dengan kebuntuan dan perasaan hilang harapan dalam hidup. Bukan itu sahaja, ada yang menganggap bahawa mereka hanyalah beban kepada orang lain lalu menganggap bunuh diri adalah jalan terbaik.

Faktor bunuh diri

Perbuatan dan fikiran bunuh diri ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya
masalah mental, dibuli, trauma atau gangguan seksual, masalah ketagihan, hilang upaya
atau mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga. Senarai ini tidak terhenti di sini dan ada banyak lagi faktor lain yang boleh dibincangkan seperti masalah keluarga yang porak peranda, kemiskinan, kelemahan personaliti kendiri dan ketakutan terhadap seseorang atau sesuatu.

Faktor yang dinyatakan membuatkan golongan yang menghadapi masalah sebegini
mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk bertindak membunuh diri. Masyarakat harus faham bahawa masalah bunuh diri ini berlaku di semua peringkat umur tidak kira bangsa, jantina mahupun agama.

Jangan terkejut jika bunuh diri ini berlaku disebabkan terikut-ikut kerana ia boleh berlaku
terutama jika video dan gambar bunuh diri disebarkan di media sosial dan akhbar kerana
mangsa boleh belajar dari situ. Kajian menunjukkan bahawa berlakunya ‘suicide contagion’ (penularan bunuh diri) dalam kalangan remaja di Amerika selepas siri Netflix ‘13 Reasons Why’ ke udara.

Bantu, bukan menghukum

Umum mengetahui bahawa dalam agama Islam, tindakan bunuh diri adalah satu dosa besar seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nisaa’ ayat 29 dan 30 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang
kepadamu. Dan barang siapa kesalahan demikian dengan hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”.

Namun perlu kita fahami, sesungguhnya orang yang tidak waras akal telah diangkat penanya daripada dosa dan pahala. Tugas kita bukanlah untuk menghakimi dan menentukan sama ada seseorang yang membunuh diri itu akan ke neraka atau tidak, kerana itu adalah urusan Allah.

Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk membantu mereka sebaik mungkin agar tidak
bertindak sehingga membunuh diri. Tidak perlu terus memerli atau menghina dengan
mengatakan iman mereka lemah.

Ada penjelasan yang melibatkan biologi dan neurologi dalam tubuh badan manusia di mana aktiviti low prefrontal cortex mereka sangat rendah sehingga mendorong mereka berfikir dan bertindak untuk membunuh diri.

Tiada tempat luahan

Disebabkan topik bunuh diri ini adalah satu topik yang tidak selesa dan sukar untuk
dibincangkan, masyarakat menganggap lebih mudah untuk kita mengelak daripada berbicara mengenainya. Malangnya tindakan ini boleh menyebabkan seseorang yang mempunyai idea atau fikiran mengenai bunuh diri tidak boleh meluahkan atau berbincang mengenainya.

Mereka tidak mempunyai tempat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati mahupun fikiran dan apabila perasaan itu sudah tidak mampu ditanggung lagi, mereka akhirnya memilih jalan keluar dengan membunuh diri. Sayang sekali kerana mereka tidak menyedari hakikat bahawa tindakan itu adalah perbuatan yang kekal untuk masalah yang boleh diselesaikan andai mereka diberi peluang untuk berbincang dan dibantu.

Jika anda bertanya mengenai pengalaman mereka yang pernah cuba membunuh diri dan
berjaya melaluinya, mereka sudah tentu akan cukup bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus bernafas. Jazz Thornton, seorang ahli advokasi kesihatan mental pernah dua kali melakukan percubaan membunuh diri, namun telah diselamatkan dan dia mampu untuk mengubah hidupnya selepas itu.

Jazz adalah contoh terbaik bagaimana seseorang yang ingin membunuh diri dan berjaya
diselamatkan, mampu untuk membetulkan kesilapan dan meperbaiki kehidupannya sehingga kini dia menjadi ikon penting yang membantu mereka yang mengalami masalah yang serupa.

Mainkan peranan kita

Sudah tiba masanya untuk kita mengambil serius mengenai isu ini dan berbincang
mengenainya dengan lebih terbuka kerana ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa kita
sedari.

Ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan jika ada ahli keluarga atau rakan yang
berbicara mengenai idea bunuh diri kepada anda:
1. Tidak memandang remeh luahan tersebut
2. Tidak menghina, memerli atau menuduh yang bukan-bukan
3. Tenang menghadapi dan mendengar luahan perasaan mereka
4. Nasihatkan individu tersebut berjumpa dengan pakar psikiatri seperti doktor atau
kaunselor.

Jika anda merasakan diri anda menghadapi fikiran sebegini, pastikan anda bercakap dengan ahli keluarga atau doktor, namun jika anda merasa malu dan tidak yakin, ketahuilah bahawa terdapat banyak talian bantuan untuk anda hubungi. Sesungguhnya masih ada mereka yang menyayangi anda dan keberadaan anda di dunia ini
sangatlah penting dan dihargai.

Talian bantuan:
● Talian kasih – 15999
● MyCare Covid – 011-19598214
● Befrienders – 03-76272929
● Talian Sokongan Mercy – 03 2935 9935/014-322 3392
● Buddybear – 1 800 18 2327 (Talian khas untuk kanak-kanak dan remaja)

Syafi Wai, 
Sukarelawan SAYA, satu inisiatif IKRAM Muda (sayap pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast