KUANTAN – Semua 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Ulu Jelai di Lipis semalam, dilepaskan dengan jaminan polis awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata mereka dibebaskan kira-kira 3 pagi, selepas diambil keterangan.
“Bagi pihak polis, siasatan dilakukan kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran manakala dakwaan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran disiasat oleh Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP),” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Artikel berkaitan: ADUN Selangor antara 29 ditahan kerana disyaki ceroboh hutan simpan
Mereka termasuk tujuh wanita difahamkan masuk ke hutan itu atas alasan memberi bantuan makanan kepada Orang Asli, sedangkan pemeriksaan JPNP dan Pusat Kawalan Operasi Bencana mendapati tiada kelulusan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.
— BERNAMA