Cubaan menangkap ikan menggunakan pukat pari di kawasan Taman Laut Pulau Babi Hujung semalam.

MERSING – Jabatan Perikanan Johor berjaya menggagalkan cubaan menangkap ikan menggunakan pukat pari di kawasan Taman Laut Pulau Babi Hujung semalam.

Susulan itu, satu unit peralatan penangkapan ikan pukat pari yang dianggarkan sepanjang 500 meter telah disita.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, sebelum itu Unit Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Johor telah melakukan rondaan rutin pemantauan vesel di perairan Johor Timur.

“Apabila sampai di lokasi, kita dapati pukat pari itu dipasang di kawasan Taman Laut Pulau Babi Hujung. Aktiviti memasang pukat pari dalam kawasan larangan Taman Laut Malaysia merupakan suatu kesalahan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan menangkap atau cuba menangkap ikan di kawasan Taman Laut Malaysia.

“Jika disabit kesalahan, peralatan menangkap ikan akan dirampas dan pesalah akan dikenakan tindakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, dalam rondaan yang sama, penguat kuasa Jabatan Perikanan Johor turut membuat pemeriksaan pematuhan syarat-syarat lesen penangkapan ikan terhadap lima buah vesel penangkapan ikan A, B dan C serta 25 nelayan tempatan.

Ia sebagai salah satu aktiviti pemantauan, pengawalan dan survelan jabatan berkenaan di perairan perikanan Johor Timur.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast