KUALA LUMPUR – Skim ganjaran berbentuk wang kepada mana-mana atlet yang merangkul pingat di temasya dunia sukan Olimpik masih dikekalkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setakat ini, tiada sebarang perubahan dalam ganjaran yang dilaksanakan selama ini untuk atlet negara yang menyumbang pingat dalam temsya empat tahun sekali itu.
Katanya, pemenang pingat emas di temasya itu akan diberikan ganjaran RM1 juta diikuti RM300,000 untuk pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk pemenang pingat gangsa.
“Nilai ganjaran itu masih kekal dan digunakan untuk atlet Malaysia yang akan berjuang untuk negara di Tokyo 2020 bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
“Skim hadiah kemenangan sukan untuk atlet kita peringkat Olimpik masih dikekalkan dan tiada perubahan dan untuk rekod sejak penyertaan Malaysia di 16 temasya berkenaan setakat ini, seramai 13 atlet yang mengondol pingat untuk negara setakat ini di pentas dunia Olimpik menikmati skim ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PM Muhyiddin menaruh harapan tinggi pingat emas pertama Olimpik
“Namun pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai ganjaran istimewa untuk pemenang pingat termasuk emas di Olimpik semasa send off di KLIA baru-baru ini, saya tidak tahu apa ganjaran istimewa yang dimaksudkannya,” kata Reezal Merican dalam sidang media pengumuman sasaran pingat Olimpik Tokyo 2020 secara hibrid di sini hari ini.
Beliau menyatakan keyakinannya pengumuman Perdana Menteri itu dapat memberi semangat dan sokongan untuk para atlet Malaysia yang bakal berjuang di Olimpik Tokyo kelak.
Justeru beliau dalam sidang media sama mengumumkan inisiatif agensi insurans FWD Takaful Berhad yang menawarkan ganjaran tambahan selain yang disediakan kerajaan untuk atlet paralimpik yang menyumbangkan pingat di Tokyo nanti.
Katanya, syarikat insurans perlindungan itu mengumumkan insentif ganjaran RM100,000 kepada atlet paralimpik yang menrangkul emas, RM50,000 pingat perak dan RM30,000 untuk pemenang gangsa.
“Insentif tambahan ini sudah pasti akan menjadi henjutan semangat juang kepada pasukan paralimpik dan juga jurulatih paralimpik yang juga ditawarkan ganjaran sama,” ujarnya.-MalaysiaGazette