Aksi Pelumba Basikal Trek Negara, Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasar menguti tiga pingat, termasuk satu pingat emas, daripada 30 atlet negara yang bersaing pada Sukan Olimpik Tokyo.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mengurangkan sasaran itu setelah mengambil kira faktor Covid-19, seperti mana yang dilakukan oleh negara lain.

Misalnya United Kingdom hanya mensasarkan 45 hingga 70 pingat ekoran pandemik Covid-19 manakala Australia dan Jepun tidak meletakkan sasaran pingat, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek kesihatan atlet, ujarnya.

“Kita kali ini secara realistiknya meletakkan sandaran tiga pingat dari acara badminton, basikal trek dan pasukan akuatik dan tentu sekali salah satu daripada sasaran itu adalah kilauan emas.

“Kita tidak perlu meletakkan tekanan lebih terhadap atlet dan membuat pengimbangan pada masa sama tidak dinafikan ada dalam kalangan atlet Olimpik kita kali ini ada kesungguhan dan semangat juang tinggi untuk menggapai impian membawa pulang pingat untuk rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Majlis Sukan Negara dan pengumuman Sasaran Pingat Olimpik Tokyo yang dilakukan secara maya di Putrajaya hari ini.

Menurut Reezal Merican, atlet Malaysia telah berdepan suasana luar biasa apabila tidak dapat menjalani latihan secara biasa selain tidak mendapat pendedahan dalam mempersiapkan diri menghadapi sukan itu.

Ujarnya, daripada 89 program pendedahan pertandingan yang diluluskan pada 2020, hanya 32 program dapat disertai atlet negara berikutan penularan Covid-19.

Katanya, sehingga 15 Julai lalu hanya 27 pertandingan disertai atlet tempatan termasuk atlet para pada tahun ini.

Dalam pada itu itu, Reezal Merican berkata, pihaknya tidak mahu atlet ditekan dengan pelbagai harapan dan mereka juga mempunyai sasaran penanda aras yang mahu dijadikan batu loncatan untuk memperbaiki rangking dunia dan rekod kebangsaan.

“Doa dan sokongan moral kerajaan dan rakyat Malaysia diyakini menjadi pencetus semangat juang mereka untuk membawa pulang pingat dan sekurang-kurangnya satu pingat emas dari bumi matahari terbit itu,” katanya.

Sementara itu, Reezal Mericam memberitahu, bagi Sukan Paralimpik, pihaknya mengekalkan sasaran mengulangi pencapaian pada temasya di Rio de Jenairo pada 2016 dengan sandaran diletakkan kepada atlet olahraga, angkat berat, badminton dan memanah.

“Oleh kerana acara badminton Para diperkenalkan pertama kali di Tokyo kali ini, ia mampu memberi kelebihan kepada 22 atlet paralimpik kita mengejar sasaran itu dengan semangat juang masing-masing.

“Beberapa lagi atlet Paralimpik bersama saya akan berangkat ke Tokyo dalam beberapa hari lagi untuk pembukaan temasya Olimpik,” katanya. – MalaysiaGazette