Abdul Rahman Salleh hadir pada majlis penyerahan sumbangan syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. berjumlah RM50,000

JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru memutuskan tiada keperluan untuk membuka lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) awam di daerah ini biarpun angka kes positif jangkitan Covid-19 terus melonjak.

Meskipun begitu, jawatankuasa pengurusan tersebut mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kadar penggunaan katil (BOR) di PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan PKRC Olive B, Hospital Permai sudah melebihi kadar 90 peratus.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, jumlah pesakit yang ditempatkan di PKRC Olive B setakat semalam adalah seramai 533 orang iaitu 503 positif Covid-19 dan 30 lagi dalam pemerhatian.

Kadar BOR adalah pada paras 91.1 peratus.

“Jumlah BOR di PKRC Olive B ini pernah mencapai tahap yang paling tinggi iaitu 94.1 peratus dengan jumlah katil yang dihuni sebanyak 551 katil daripada jumlah keseluruhan 585 katil pada Khamis (15 Julai) lalu.

“Peningkatan kes positif dalam kalangan rakyat di negeri ini mencetuskan kebimbangan dan meletakkan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi segala kemungkinan seperti lambakan pesakit yang positif di kedua-dua PKRC awam ini.

“Sekiranya kadar penggunaan katil di PKRC melebihi 95 peratus, kita perlu memaksimumkan penggunaan PKRC dengan menambah bilangan katil di tempat sedia ada atau terpaksa membuka PKRC.

”Namun, kita berdoalah perkara itu tidak akan berlaku,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. berjumlah RM50,000.

Penyerahan replika cek  disampaikan Naib Presiden Lotte Chemical Titan, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff di Hosital Permai, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Operasi Olive B, Dr. Mohamad Faiz Maarof berkata, pihaknya akan menjadikan bilik rehat di setiap tingkat bangunan lima tingkat itu untuk bilik pesakit.

Bilik-bilik rehat itu mampu menempatkan 75 katil.

“Sebenarnya, kita sudah menggunakan segenap ruang yang ada di Olive B ini bagi menempatkan 585 katil pesakit namun sekiranya perlu untuk menambah katil, maka kita terpaksa korban bilik rehat di setiap aras, selain mempertimbangkan untuk membuka khemah tambahan,” katanya.

PKRC Olive B dibuka khas bagi pesakit tahap 1 dan tahap 2 membabitkan golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah 12 tahun yang bergejala ringan atau tidak bergejala.

Sejak dibuka pada 13 Jun lalu sehingga semalam, jumlah pesakit yang diterima adalah seramai 1,734 orang termasuk 1,476 pesakit wanita, 258 lelaki (bayi dan kanak-kanak) dan 98 orang dalam pemerhatian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast