NEW YORK – Jaguh muda tenis Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff menarik diri daripada menyertai dalam sukan terbesar dunia, Olimpik 2020 di Tokyo kali ini.
Jaguh gadis remaja itu dengan berat hati terpaksa berbuat demikian selepas dikesan positif Covid-19.
Gadis berusia 17 tahun itu sepatutnya berlepas ke Tokyo bersama pasukan tenis AS untuk menyertai temasya kali ini yang akan membuka tirai secara rasmi 23 Julai ini.
Malangnya, Gauff yang ditewaskan dalam pusingan keempat Wimbledon awal Julai ini kini terpaksa hampa dengan nasib tersebut.
“Saya sangat kecewa untuk berkongsi berita bahawa saya diuji positif Covid-19 dan tak dapat bermain dalam Olimpik Tokyo.
“Adalah menjadi impian saya untuk mewakili AS ke Olimpik kali ini malangnya semuanya hancur akibat Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bagaimanapun pemain muda itu tanpa berputus asa yakin peluang akan datang lagi pada masa akan datang untuk beraksi dalam temasya terbesar dunia ini.
“Namun saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya untuk pasukan tenis AS supaya beraksi secara selamat dan sihat begitu juga untuk keseluruhan keluarga Olimpik,” katanya.
Sementara itu ratu tenis dunia kelahiran AS dan juga pemenang sembilan pingat Olimpik, Serena dan Venus Williams mengesahkan tidak mengambil bahagian pada kali ini.-MalaysiaGazette