Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ia penting bagi memastikan langkah-langkah pemulihan terutama daripada segi ekonomi dapat dilakukan secara lebih baik.
“Perkara ini perlu dibincangkan kerana selain pelan pemulihan negara peringkat Persekutuan, negeri juga perlu ada pelan pemulihan sendiri dan ia juga berkemungkinan akan menjadi tajuk besar dalam persidangan nanti.
“Johor ada 56 wakil rakyat dan saya yakin mereka layak dan boleh mengeluarkan pandangan serta buah fikiran untuk kita implimentasi, sebahagian daripada mereka (pembangkang) juga pernah berada dalam kerajaan sebelum ini dan saya juga merupakan bekas menteri besar.
“Justeru perkara ini perlu dibahaskan dengan lebih teliti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas selepas menyerahkan daging lembu sempena Hari Raya Aidiladha di Pusat Khidmat Rakyat DUN Kempas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai antara perkara yang bakal dibahaskan dalam sidang DUN Johor tidak lama lagi.
Menurut Osman, isu Covid-19 harus diberi tumpuan oleh kerajaan negeri demi menjamin kesejahteraan rakyat
Dalam pada itu, mengenai program Bakul Makanan DUN Kempas, beliau memberitahu, lebih 5,000 bantuan telah disampaikannya dalam DUN berkenaan.-MalaysiaGazette