Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah clinical trials National Healthy Research Volunteer Register National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Data perubatan daripada penggunaan vaksin Sinovac dan Pfizer menunjukkan kedua-duanya mempunyai keberkesanan yang sama melawan jangkitan Covid-19.

Tiada banyak perbezaan daripada segi keberkesanannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, perkara berkenaan telah dibuktikan menerusi data perubatan yang dikeluarkan negara Chile tentang pengalaman memberikan Sinovac kepada rakyatnya yang diterbitkan dalam laporan New England Journal of Medicine bertarikh 7 Julai lalu.

“Data itu menunjukkan kedua-dua vaksin Sinovac dan Pfizer sangat efektif dalam mengelak penyakit teruk Covid-19 dan sehingga dimasukkan dalam hospital namun kurang berkesan melawan kesan ringan atau yang tidak bergejala.

“Malah data perubatan keberkesanaan oleh Chile menyaksikan sejak Februari hingga Mei lalu menyaksikan 4.2 juta penduduknya menerima vaksin lengkap berbanding 5.5 juta penduduk yang tidak divaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, Sinovac juga didapati mengurangkan jangkitan sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kadar kemasukan hospital sebanyak 87.5 peratus, mengurangkan kemasukan rawatan ICU sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kadar kematian sebanyak 86.3 peratus.

Justeru katanya, Kementerian Kesihatan Israel juga menyatakan bahawa vaksin Pfizer ternyata berjaya mengurangkan jangkitan sebanyak 64 peratus.

“Malah ia juga melaporkan Pfizer 93 peratus berkesan terhadap kemasukan hospital dan penyakit serius,” katanya lagi.

Sebelum ini, kementeriannya menerusi menterinya Datuk Seri Dr. Adham Baba juga menyatakan akan menghentikan penggunaan vaksin Sinovac selepas bekalannya habis kelak.

Ini kerana KKM sudah mempunyai vaksin lain iaitu Pfizer pada kadar yang sangat mencukupi bagi meneruskan program vaksinasi kebangsaan membabitkan 22 juta lagi rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette