JOHOR BAHRU – Ketika orang lain bersama keluarga menyambut Hari Raya Aidiladha, ada insan yang terpaksa bertugas bagi mengekang penularan Covid-19.
Mereka adalah wira yang tidak pernah kenal erti penat dan terus memerah keringat sejak pandemik mula menular di negara ini sejak tahun lalu.
Ia termasuk kira-kira 50 petugas kesihatan Hospital Pakar KPJ Johor mengorbankan cuti raya mereka agar program vaksinasi terus kepada masyarakat di Pusat Pemberian Vaksinasi Hospital Pakar KPJ Johor berjalan lancar.
Bagi memeriahkan suasana, mereka memakai baju Melayu dan baju kurung bagi mengubati kesedihan tidak dapat berhari raya.
Salah seorang daripadanya, Mohd Azharull Azmeer Abdullah berkata, walaupun tidak dapat berhari raya bersama keluarga namun menyambutnya bersama rakan-rakan serta penerima vaksin mengubat rindunya.
“Bagi saya ini antara sumbangan kecil saya kepada negara bagi menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai komuniti kelompok dalam memerangi pandemik,” katanya.
PPV KPJ Johor mula beroperasi sejak 31 Mei lalu mula dibuka pukul 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari dengan keupayaan memberi kira-kira 400 dos sehari.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd Azhar Abdullah turut berterima kasih kepada para petugas yang ‘berkorban’ selama ini.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengorbanan anda semua sehingga hari ini. Mendepani pandemik ini, kita kena sentiasa bersedia untuk berkorban. Kerana dalam setiap kesusahan, Allah SWT akan hadirkan kemanisan. Semoga setiap pengorbanan kita di dunia ini mendapat redha daripada Allah,” katanya.
Menurutnya,, hari ini merupakan tahun kedua mereka menyambut raya dalam musim pandemik dan tahun ini berkorban kerana bertugsa melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan membantu negara melandaikan lengkuk graf penularan pandemik.- MalaysiaGazette