Abu Zarin Maarof meluangkan masa bermain gitar dirumahnya di PPR Laksamana Jalan Peel, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Biarpun sudah dinasihatkan doktor agar tidak lagi bekerja kerana mengalami masalah buah pinggang tahap lima namun Abu Zarin Maarof tidak betah duduk sahaja di rumah mengharapkan simpati.

Sejak akhir Ramadan lalu, Abu Zarin yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kerana cacat penglihatan tidak lagi bekerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bapa kepada lima anak ini hilang sumber pendapatan sejak itu.

Abu Zarin, 59, dan isterinya, Yuruslaini Che Mat, 42, juga seorang OKU, hanya mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan sepenuh masa di hadapan pusat beli-belah Sogo sebelum ini.

”Saya hanya cari rezeki dengan busking dan karaoke di hadapan Sogo. Kalau saya keluar bekerja dapatlah saya tambahan RM500 hingga RM600 sebulan.

“Tetapi bulan puasa lalu adalah kali terakhir saya bekerja sehingga sekarang memang tidak keluar rumah, sudah lama rasanya tidak keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Projek Perumhan Rakyat (PPR) Laksamana, Jalan Peel, Cheras. kepada MalaysiaGazette.

Abu Zarin Maarof bersama isterinya,Yuruslaini Che Mat minum petang di rumah mereka di PPR Laksamana Jalan Peel, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2021.

Sambil merenung jauh, Abu Zarin menyifatkan keadaannya sebagai berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ini kerana, dia memerlukan wang untuk kos membeli jarum bagi memeriksa darah dan ubat-ubat untuk cuci luka dan perbelanjaan ini perlu ditanggung sendiri.

“Pakcik pun tidak sihat sekarang ini, sakit kencing manis dan masalah buah pinggang. Kalau Covid-19 tidak ada pun, dia tidak boleh lagi keluar menyanyi. Kami hanya bergantung pada anak sahaja sebab dia sudah sakit tahap lima untuk cuci buah pinggang. Kalau sudah cuci pun memang doktor tidak sarankan dia bekerja.

“Kos rawatan ketika ini bergantung pada bantuan yang diberikan Baitulmal namun jarum dan ubat cuci luka kami perlu beli sendiri. Ditambah sekarang kencing manis dia semakin makin teruk dengan buah pinggang dia sudah 8 peratus rosak.

“Doktor kata dalam masa tiga bulan ini kami perlu cari tempat cuci buah pinggang dia sebab bila-bila masa pakcik perlu lakukan rawatan dialisis.” kata Yuruslaini.

Abu Zarin Maarof

Yuruslaini berkata, selama ini pun keluarganya mendapat bantuan bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM850.

Malah sejak PKP, persatuan penduduk di tempat dia tinggal turut menghulurkan bantuan bekalan makanan.

“Keperluan harian itu, alhamdulilah. Persatuan penduduk sini ada bagi bantuan barang-barang semua, tidak pernah putus, memang sentiasa ada untuk kami OKU ini, cuma kewangan je lah sukar sedikit,” tambah Yuruslaini.

Pasangan ini turut lega kerana bayaran rumah dilunaskan oleh Baitulmal.

Namun dalam menjalani kehidupan harian, wanita itu memberitahu, mereka masih perlu menampung perbelanjaan harian kerana anak-anak mereka yang berusia 24 hingga 13 tahun masih meneruskan pengajian dan persekolahan.

”Kehidupan kami terjejas dari segi kewangan dan kami bimbang,” katanya sambil menambah buat masa ini mereka terpaksa bergantung harap pada anak sulung yang sudah bekerja dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Anak itu diharap untuk melunaskan bil api dan air dan Internet.

Meskipun dalam kepayahan itu, Abu Zarin tidak henti berharap agar kerajaan dapat melonggarkan kembali pelaksanaan PKP agar mereka boleh kembali mencari rezeki seperti sediakala.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1410029872705292 atas nama Abu Zarin Maarof – MalaysiaGazette