Islamic preacher Ustaz Ebit Lew sexual harassment charged court
Ebit Lew

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew hari ini menjawab 10 tuduhan yang dibuat oleh penyanyi rap, Caprice dan Nadir Al-Nuri berhubung rombongannya menghantar misi bantuan ke Palestin baru-baru ini.

Menerusi Facebook, Ebit menggunakan medium itu untuk menolak dakwaannya ke Gaza menggunakan duit sumbangan; isu sebut harga barang; isu tidak membalas mesej aplikasi Whatsapp; isu lambakan barang yang lamat memasuki Gaza dan tuduhan ketika bertemu Nadir Al-Nuri.

Perkara-perkara lain yang turut diperjelaskan iaitu isu tidak membuat live ketika berada di Gaza; pemilihan untuk membina rumah anak yatim; pembayaran kepada syarikat Hala; masuk Gaza tanpa pengetahun Caprice, Neelofa dan PU Harris serta dakwaan mencium kaki menteri di sana.

Menurut Ebit, dengan penjelasan yang dibuat olehnya hari ini ia diharap dapat menjawab segala yang didakwanya fitnah sehingga menjejaskan nama baiknya dan keluarga.

Ebit memperjelas tuduhan yang diterimanya satu persatu bermula dengan perbelanjaan yang digunakan untuk ke Gaza.

Melalui perkongsian di laman sosial berkenaan, Ebit berkata, beliau bersama pasukan ke Gaza menggunakan wang sendiri.

Beliau turut memaklumkan, telah diberi rezeki menerima tajaan daripada Turkish Airlines yang mahu membawanya bersama pasukan menjayakan misi bantuan ke Gaza.

Berhubung sebut harga barang, Ebit tidak menerima pelbagai sebut harga daripada pelbagai pihak termasuk Nadir Al-Nuri untuk pembelian barang yang hendak disampaikan dalam misi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memilih sebut harga yang dikeluarkan Nadir Al-Nuri disebabkan harga yang ditawarkan agak tinggi.

Beliau sebaliknya memilih pihak yang mampu menawarkan sebut harga barang yang lebih rendah dengan tujuan mendapatkan jumlah barangan yang lebih banyak untuk diagih-agihkan.

Perkara ketiga yang dijelaskan oleh Ebit adalah berhubung isu tidak membalas Whatsapp yang dihantar kepadanya.

Beliau menyatakan terkhilaf tentang perkara itu selepas ditularkan tidak menjawab mesej daripada Caprice.

Katanya, beliau sendiri akui terkadang terlepas pandang menjawab mesej daripada isteri mahu pun anaknya sendiri.

Beliau juga kurang senang dengan sikap Caprice yang sering berkongsi mesej antara mereka berdua untuk tontonan umum sekaligus menimbulkan pelbagai fitnah.

Berkenaan isu lambakan barang yang lambat memasuki Gaza pula, Ebit berkata, sebelum ini beliau diserang oleh Nadir Al-Nuri yang bertanyakan mengenai barangan yang dibelanjakan dan mempersoalkan sama ada barangan tersebut berjaya memasuki Gaza atau sebaliknya.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Ebit memberitahu, beliau terpaksa menunggu giliran barangan untuk memasuki Gaza berikutan lambakan barangan yang disumbang oleh kumpulan-kumpulan dari Dubai dan Qatar.

Katanya, tidak hanya membeli barangan di Mesir seperti yang didakwa, Ebit turut mengaku mendapatkan barangan di Gaza.

Bagaimanapun, katanya, barangan melibatkan kesihatan dan ubat-ubatan terpaksa diperolehi di Mesir bagi memudahkan barangan disalurkan kepada penduduk Gaza berbanding mendapatkannya di Gaza sendiri dengan harga yang lebih mahal dan terhad.

Isu kelima yang dijawab adalah tuduhan biadap bertemu Nadir A-Nuri.

Ebit menegaskan, sebelum tiba di lokasi di mana Nadir Al-Nuri berada, beliau terpaksa menempuh perjalanan selama 21 jam melalui 21 checkpoint dengan diiringi 12 kereta kebal.

Jelas beliau, setibanya di lokasi tersebut sekitar pukul 1 pagi, beliau mengakui sangat letih dan sedang memikirkan untuk selesaikan solat jamak Maghrib dan Isyak.

Ebit mengatakan beliau tidak ditegur dan dihulurkan tangan untuk bersalam oleh Nadir Al-Nuri manakala beliau yang keletihan terlepas pandang kehadiran Nadir.

Berhubung isu tidak membuat live semasa di Gaza, Ebit berkata, beliau dan pasukannya tidak membuat perkara itu kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku semasa sesi bantuan dijalankan.

Dengan memberikan contoh di mana terdapat kanak-kanak yang memeluk beliau sekaligus menjadi buah mulut melibatkan pelanggaran SOP dan sebagainya.

Mengulas mengenai pemilihan untuk membina rumah anak yatim, Ebit menjelaskan, pemilihan membuka rumah anak yatim adalah adalah inisiatif beliau sendiri dan mengatakan setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk membantu serta tidak patut menjadi isu untuk dibincangkan.

Ebit turut memperjelas mengenai pembayaran kepada syarikat Hala dimana Nadir Al-Nuri juga melalui perkongsiannya mempersoal tindakan beliau bersama pasukan yang menggunakan syarikat Hala dengan jumlah perbelanjaan yang besar memasuki Gaza.

Ebit berkata, beliau terpaksa membantutkan hasratnya ekoran melihat yuran besar yang dikenakan.

Atas bantuan daripada kedutaan Malaysia dengan kelulusan kerajaan negara Mesir dan kelulusan tentera yang terpaksa dinantikan lama, pasukan beliau akhirnya berjaya memasuki Gaza selepas mendapat khidmat sebuah syarikat Lucky Tour Co yang menawarkan bayaran yang jauh lebih rendah.

Ebit berkata, beliau sendiri tidak mengetahui mengenai syarikat Hala seperti yang didakwa oleh Nadir Al-Nuri.

Perkara kesembilan yang turut dijelaskan Ebit iaitu, memasuki Gaza tanpa pengetahui Caprice, Neelofa dan PU Harris.

Beliau mendakwa, tidak pernah berbincang secara langsung dengan ketiga-tiga individu berkenaan berhubung misi bantuannya itu.

Dan yang terakhir berhubung dakwaan sanggup mencium kaki menteri, Ebit mempersoalkan bahawa tuduhan itu tidak benar serta tidak logik.

Katanya, tidak mungkin perkara itu dilakukan olehnya kerana ia adalah satu perbuatan yang syirik dan berdosa besar jika melakukannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mana pergi duit sumbangan RM20 juta? – Ebit

 

1 Komen

Comments are closed.