KUALA LUMPUR – Datin Latifah Sidek, isteri kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek meninggal dunia hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di laman Facebooknya pada malam ini.
“Dukacitanya dimaklumkan Datin Latifah telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Sama-sama kita panjatkan doa buat Arwah semoga ditempatkan bersama mereka yang disayangiNya jua. Takziah buat Datuk Misbun & keluarga,” menurut entri berkenaan.
Arwah sebelum ini dilaporkan berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak 10 Julai.
Misbun, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih kebangsaan, yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Skuad Remaja Negara, berkahwin dengan Latifah pada 1987.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah menerusi media sosialnya.
“Marilah kita doakan semoga roh Allahyarhamah sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan bersama mereka yang soleh dan beriman,” katanya. – Bernama