Seorang sukarelawan membantu penduduk dalam Program Pendaftaran Vaksinasi Covid-19 Southern Volunteers dengan kerjasama MBJB yang dijalankan di  Pangsapuri Aman Larkin, Apartmen Larkin Idaman dan Taman Mutiara Emas di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan dakwaan berkenaan terdapat borang pendaftaran ‘Vaksin Pfizer Kuota Tengku Mahkota Johor (TMJ)’ seperti yang tular di media sosial.

Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan memberitahu, mesej tular itu adalah palsu dan kuota seperti itu tidak wujud.

Malah pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan borang tersebut adalah borang pendaftaran bagi vaksin jenis Pfizer di bawah kuota mana-mana pihak.

“Borang tersebut adalah borang pendaftaran vaksin digunakan urusetia Southern Volunteers Johor Bahru bagi membantu mendaftarkan warga bandar raya ini yang masih belum mendaftar.

“Pendaftaran sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di www.vaksincovid.gov.my,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, Southern Volunteers Johor Bahru turut menggunakan platform laman web JKJAV tersebut bagi menyemak dan mendaftarkan orang awam yang belum mendaftar vaksin.

“MBJB juga menafikan sebarang makluman yang mengatakan bahawa pendaftaran vaksin melalui borang Southern Volunteers lebih diutamakan untuk pemberian vaksin berbanding kaedah pendaftaran sendiri melalui aplikasi MySejahtera atau laman web JKJAV,” tambah kenyataan yang sama.

Kenyataan itu memaklumkan, sehingga Khamis lalu, Southern Volunteers Johor Bahru bersama-sama MBJB telah mendaftarkan seramai 30,008 penduduk bandar raya ini bagi menyokong usaha mencapai sasaran lebih 80 peratus rakyat Johor mendapatkan vaksin Covid-19.

Warga bandar raya digalakkan untuk segera mendaftar vaksin bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dan seterusnya melindungi diri, keluarga dan masyarakat dari wabak berkenaan.
“MBJB turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menyemak maklumat diterima serta merujuk saluran rasmi berkaitan vaksin Covid-19.

“Semakan boleh dibuat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKJAV, Majlis Keselamatan Negara, Southern Volunteers atau MBJB ,” jelas kenyataan itu lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast