Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi kaum itu sedang dimuktamadkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah menggubal dasar, melaksanakan program dan projek pembangunan untuk masyarakat Orang Asli bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Bagaimanapun pada masa ini, masyarakat Orang Asli masih ketinggalan daripada segi pembangunan sosioekonomi.

“Pada 2019, kadar kemiskinan di kalangan Orang Asli adalah kira-kira 33.6 peratus.

“Tahap pendidikan dalam kalangan Orang Asli yang rendah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini.

“Infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi telah menjejaskan kesejahteraan komuniti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mustapa, isu berkaitan pembangunan tanah Orang Asli juga menjejaskan sosioekonomi mereka.

Selain itu katanya, pembangunan Orang Asli  sehaarusnya merentasi kementerian, bukan hanya bergantung Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pembanguan Luar Bandar (KPLB).

Hari ini, Mustapa telah mempengerusikan pertemuan secara dalam talian untuk membincangkan secara khusus mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Seramai 35 orang wakil daripada pihak Kerajaan, pihak berkuasa koridor, sektor swasta, ahli akademik, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) serta wakil masyarakat Orang Asli telah turut serta.

Ianya bertujuan berkongsi amalan terbaik dalam menangani isu kemiskinan dalam masyarakat Orang Asli menggunakan pendekatan keseluruhan negara (whole of nation approach) yang melibatkan semua  pihak  berkepentingan.

Ini merupakan sesi kedua Poverty Circle atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan selepas sesi pertama diadakan pada 1 Julai lalu.

Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan membincangkan mengenai data e-Kasih dan perkongsian maklumat model pelaksanaan program tanggung jawab sosial  korporat MyKasih yang dilaksanakan oleh Dialog Group. – MalaysiaGazette