David Wong menyampaikan 281 kotak keperluan makanan dan 281 kotak mee segera menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar segera mengurniakan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam di Tanjung Sedili, Kota Tinggi tempoh kurang dari 12 jam berlaku kejadian hujan lebat dan ribut.

Baginda berkenan mengurniakan 281 kotak keperluan makanan dan 281 kotak mee segera menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), yang disampaikan Datuk David Wong hari ini.

Bantuan makanan daripada baginda turut disampaikan kepada keluarga-keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kejadian ribut yang berlaku pada jam 3 petang semalam mengakibatkan pelbagai kerosakan 291 kediaman di kawasan Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Kampung Sentosa.

Berikutan kejadian bencana alam itu, seramai sembilan keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia Jaya, manakala dua keluarga ditempatkan di PPS SK Sedili Besar.

Sementara itu, mangsa bencana, Mohd Faizal Mat Teh, 30, berkata kediamannya terjejas teruk akibat kejadian semalam dan kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara.

“Ibu dan kakak pula berada di PPS kerana segala barangan di dalam rumah rosak dibasahi air, manakala sebahagian struktur rumah pula tumbang.

“Memang kami tidak mampu untuk membaiki secara keseluruhan rumah ini dan saya hanya bekerja biasa di kampung, katanya sambil mengucapkan terima kasih atas kurniaan bantuan makanan yang diterima daripada Sultan Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast