Beberapa penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan proses sanitasi di sekitar Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan MPK dan kawasan perumahan bagi membendung penularan wabak tersebut di Taman Sri Andalas, Klang. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

KLANG – Khuatir dengan lonjakan kes Covid-19 serta kewujudan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang mendorong penduduk Taman Sri Andalas, di sini, untuk mengeluarkan duit poket sendiri bagi melakukan proses sanitasi.

Wakil penduduk, Mohd Shahrin Mohd Tamin, 43, berkata, inisiatif itu diambil apabila pihak-pihak berkaitan ibarat tidak ambil pusing soal kebersihan di kawasan sekitar CAC.

Menurut Mohd Shahrin, pada awalnya dana yang dikumpul oleh penduduk di kawasan tersebut digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan sanitasi dari syarikat luar.

Mohd Shahrin Mohd Tamin. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

“Namun selepas berbincang, semua setuju untuk beli barang sendiri dan lakukan proses nyahkuman secara sukarela.

“Semua penduduk di kawasan ini memang sporting, malah dilihat bersemangat untuk buat semua kerja-kerja nyahkuman kerana mereka sendiri khuatir akan kebersihan kawasan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahrin berkata, pembukaan CAC sejak 12 Julai lalu membuatkan penduduk berhampiran risau akan tahap kesihatan diri mereka.

Tambah Mohd Shahrin, dia juga tidak menafikan ada segelintir individu tidak bertanggungjawab sanggup menutup gelang berwarna merah jambu di sebalik baju mereka semata-mata mahu membeli makanan atau ke kedai runcit di sini.

“Bagi kami itu perkara bahaya lah, bagaimana kalau wabak ini merebak dalam kalangan penduduk pula?

“Sebab itu kami sepakat ambil langkah, bersihkan bangunan yang ada di kawasan sekitar ini dengan keluarkan duit poket masing-masing.

“Kita sanitasi kawasan sekitar CAC, rumah-rumah kedai, perumahan serta hentian bas,” katanya.

Beberapa penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan proses sanitasi di sekitar Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan MPK dan kawasan perumahan bagi membendung penularan wabak tersebut di Taman Sri Andalas, Klang. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

Jelas Mohd Shahrin, selain membeli alat semburan, mereka turut mengeluarkan modal untuk membeli cecair pembasmi kuman yang berharga RM180 bagi satu botol dan bancuhan tersebut hanya boleh digunakan untuk tempoh masa dua hari.

Dalam pada itu, Mohd Shahrin berkata, apa yang lebih membimbangkan apabila terdapat individu yang disyaki dijangkiti wabak Covid-19 dan hadir ke CAC bagi penilaian kesihatan bertindak membuang pelitup muka yang sudah digunakan di merata-rata tempat.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyakitkan mata penduduk dengan sampah-sarap malah mendedahkan mereka dengan risiko jangkitan Covid-19.

Beberapa penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan proses sanitasi di sekitar Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan MPK dan kawasan perumahan bagi membendung penularan wabak tersebut di Taman Sri Andalas, Klang. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

Terdahulu kira-kira 10 penduduk Taman Sri Andalas berkumpul di hadapan CAC Dewan Sukan Klang sebagai tanda protes terhadap pihak-pihak berkaitan yang enggan mengambil tanggungjawab untuk memindahkan CAC tersebut ke satu lokasi lain.

Pada 12 Julai lalu, beberapa video dan gambar tular di laman sosial apabila penduduk membantah pembukaan CAC berhampiran kediaman mereka sehingga menyebabkan halangan lalu lintas selain berisiko menularkan wabak tersebut dalam komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast