Penduduk menunjukkan poster bantahan CAC bagi membendung penularan wabak di kawasan tersebut di sekitar Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

KLANG – Penduduk Taman Sri Andalas, di sini, terus mendesak supaya Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang dipindahkan ke satu lokasi lain yang jauh dari komuniti setempat.

Hari ini genap dua minggu CAC tersebut beroperasi dan sejak itu penduduk di kawasan berhampiran seolah-olah hidup dalam ketakutan lebih-lebih lagi apabila mendengar varian Delta semakin mengganas.

Penduduk, Zarim Othman, 43, berkata, kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut terdiri daripada warga emas yang sememangnya berdepan dengan risiko tinggi sekiranya dijangkiti wabak Covid-19.

Zarim Othman. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021

Menurut Zarim, sebelum ini dia mendapat makluman bahawa CAC tersebut akan dipindahkan ke suatu lokasi lain namun lain pula situasi yang berlaku selepas dua minggu.

“Kawasan perumahan ini kebanyakan penduduknya adalah warga emas dan kita semua tahu mereka ini golongan berisiko apabila terkena jangkitan Covid-19, kenapa tidak cegah sebelum terlambat?

“Adakah suara kami sebagai penduduk di sini tidak ada harga? Adakah kami ini tidak penting dan tidak ada yang prihatin dengan situasi di sini?,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Zarim turut meluahkan rasa kecewa terhadap pihak-pihak berkaitan yang dikatakan tidak menunaikan janji mereka untuk mengalihkan lokasi CAC berkenaan.

“Kami sebagai penduduk di sini memang rasa dukacita kerana apa yang dijanjikan dua minggu lalu tidak ditunaikan, jadi memang kecewa.

“Kalau ikutkan lagi ramai yang mahu turun, luah rasa tak puas hati tapi disebabkan kekangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan mereka pun sudah lanjut usia biar lah kami yang masih sihat ini cuba sedaya upaya buat yang termampu,” katanya.

Mohd Azhar Osman. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Azhar Osman, 38, berkata, penduduk setempat sama sekali tidak menyalahkan petugas barisan hadapan mahu pun pesakit yang datang ke CAC itu untuk membuat penilaian kesihatan.

Kata Mohd Azhar, seharusnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Selangor Task Force Covid-19 dan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab dengan menukar lokasi CAC dalam kadar segera apabila menerima bantahan daripada penduduk.

“Kita tak salahkan ‘frontliners’ mahu pun pesakit, tapi apa yang pihak-pihak berkaitan dalam kes ini buat? Mungkin sekarang belum wujud lagi kesan daripada pembukaan CAC di kawasan perumahan tapi masa akan datang siapa yang tahu.

“Banyak lagi lokasi lain dalam daerah Klang ini, satu yang boleh saya bagi contoh adalah Stadium Kota Raja. Pindahkan CAC sekarang ini ke kawasan yang jauh dari masyarakat.

“Tolong lah kami sebagai rakyat merayu, sekarang angka kes Covid-19 melonjak sehingga lebih 15,000 kes sehari dengan negeri Selangor mendahului, sampai bila keadaan perlu begini?,” katanya.

Orang awam yang disyaki positif Covid-19 menunggu kenderaan untuk pulang selepas hadir untuk melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Dewan Sukan MPK, Taman Sri Andalas, Klang. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

Terdahulu, kira-kira 10 orang penduduk dari Taman Sri Andalas berkumpul di hadapan CAC Dewan Sukan Klang sebagai tanda protes terhadap sikap acuh tidak acauh pihak berkaitan dalam memindahkan pusat penilaian tersebut.

Selain itu, terdapat sehelai kain rentang yang dipasang di tepi jalan memaparkan beberapa perkara antaranya kerisauan penduduk mengenai keselamatan diri, trauma yang dialami serta tahap kebersihan di kawasan sekitar.

Pada 15 Julai, media melaporkan CAC Dewan Sukan Klang bagi daerah itu tidak akan dipindahkan walaupun mendapat kritikan dan pertikaian daripada penduduk setempat.

Pejabat Kesihatan Daerah Klang dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan lokasi dewan berkenaan dibuat atas faktor kedudukannya yang berhampiran dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Menurut kenyataan itu lagi, penduduk setempat tidak perlu risau mengenai risiko jangkitan Covid-19 berikutan pesakit positif yang berkumpul di dewan berkenaan kerana jarak antaranya dengan rumah cukup jauh – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast