Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) kini menjadi keperluan mendesak bagi menambah kapasiti penyimpanan mayat dengan memudahkan penjadualan pengkebumian serta penentuan lokasi kubur dan krematorium.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, PUSUM juga dapat mengurangkan beban kepada petugas yang menguruskan pengkebumian yang mana sebelum ini mereka perlu bekerja sehingga waktu malam untuk menyempurnakan mayat dengan segera kerana ruang penyimpanan mayat yang tidak mencukupi.

Terletak di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Stadium Jalan Raja Muda, Kampung Baru di ibu negara, ia dibina secara sementara pada 17 Julai lalu dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penyelaras fasiliti , Hospital Kuala Lumpur (HKL) selaku penyelaras operasi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“PUSUM berfungsi sepenuhnya pada 24 Julai 2021 dilengkapi dengan fasiliti lima buah kontena berhawa dingin bersaiz 10 x 40.

“Empat buah kontena disediakan oleh pihak DBKL dan satu kontena ditaja oleh Kumpulan Nirvana. Setiap kontena boleh memuatkan 45 mayat. Keseluruhan kontena boleh memuatkan 225 mayat. Pusat ini telah menguruskan 300 mayat sejak 20 Julai 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, turut disediakan enam buah khemah berhawa dingin bersaiz 10 x 20, sembilan buah khemah bersaiz 10 x 20, 10 buah khemah saiz 20 x 20 dengan bekalan elektrik berkapasiti 250 ampiar tiga fasa dan lapan unit lampu limpah bagi menerangi kawasan operasi urus mayat.

Penyediaan kelengkapan ini adalah bertujuan untuk melancarkan operasi PUSUM, katanya.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan sumber manusia yang terlibat dalam pengoperasian PUSUM ini adalah seramai 100 orang yang terdiri daripada petugas Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Institut Sukan Negara (ISN), Sukarelawan PRIVO dan RELA.

“Besar harapan saya agar DBKL dan HKL sentiasa memastikan pengoperasian PUSUM ini dapat berjalan dengan lancar dan segala permasalahan serta isu-isu berhubung pengendalian jenazah-jenazah Covid-19 ini dapat diselesaikan dengan segera bagi memudahkan urusan petugas-petugas untuk menyempurnakan tanggungjawab terakhir kepada pesakit-pesakit Covid-19 dan waris-waris,” ujarnya. – MalaysiaGazette