JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bantuan keperluan makanan yang disediakan untuk membantu golongan memerlukan perlu dilakukan secara ikhlas bukan melibatkan soal perkauman.
Baginda menzahirkan perkara itu di laman rasmi Facebooknya dan bertitah ketika ini terdapat ramai individu tanpa mengira agama dan bangsa mengalami kesulitan seperti kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan.
“Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama, lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video yang tular di media sosial semalam berhubung bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang dikatakan menimbulkan soal perkauman.
Sultan Johor sentiasa menegaskan betapa pentingnya hubungan antara kaum dan toleransi yang sentiasa menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor.
Mengambil contoh kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), baginda bertitah ia disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh Johor setiap minggu.
“Niat kita adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, tidak perlu menimbulkan soal perkauman dalam bantuan yang dihulurkan,” titah baginda.-MalaysiaGazette