JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan enam individu termasuk seorang jurutera daerah dan dua orang penolong jurutera kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor di daerah yang dikawalselia mereka.
Menurut sumber, jurutera daerah dan dua penolong jurutera masing-masing berusia 38, 44 dan 31 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dilaksanakan sekitar negeri itu semalam.
Tiga orang kontraktor yang terlibat juga turut ditahan bagi membantu siasatan kerana didakwa merasuah ketiga-tiga suspek bagi mendapatkan projek-projek yang ditawarkan oleh agensi berkenaan di sebuah daerah di Johor sejak tahun 2018.
Kontraktor terbabit dipercayai mengawal 11 syarikat yang didaftarkan atas nama mereka dan juga proksi untuk membolot projek-projek agensi pusat berkenaan yang ditawarkan di daerah tersebut.
Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli juga mencecah jutaan ringgit sejak tahun 2018 hingga 2021.
Selain itu, sumber menjelaskan, pelbagai bentuk suapan rasuah telah diberikan kepada ketiga-tiga suspek termasuk pakej percutian,wang tunai dan barang berharga termasuk sebuah bot.
Beberapa siri serbuan telah dibuat di sekitar Johor sejak awal pagi semalam.
Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta SPRM dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.
Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Keenam-enam suspek yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini dan diluluskan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk 5 orang suspek sebanyak 7 hari bermula hari ini hingga 1 Ogos 2021 manakala seorang suspek diluluskan reman selama 5 hari bemula hari ini sehingga 30 Julai 2021.
Pemohonan reman tersebut dibenarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri.-MalaysiaGazette