SUNGAI PETANI – Polis mengesahkan seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang, Tikam Batu, di sini, positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 55 tahun itu dilaporkan mengadu sakit dada sebelum ditemui terbaring depan rumah tersebut.
Jelas beliau, rakan mangsa yang berusia 64 tahun tampil ke Balai Polis Tikam Batu pada jam 4.50 petang semalam bagi memaklumkan kejadian selepas mendapati rakannya meninggal dunia.
“Susulan itu, anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan sebelum menemui mangsa di atas lantai simen garaj rumah tersebut.
“Hasil soal siasat rakannya mendakwa mangsa menumpang di rumah ibunya sejak kelmarin dan ketika mereka sedang berbual pad 4.30 petang, mangsa tiba-tiba mengadu sakit dada.
“Rakan mangsa cuba membawanya ke klinik, namun tiba-tiba dia rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Adzli, pegawai perubatan yang berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Ujian calitkan mendapati mangsa positif Covid-19 dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette