Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media mengenai pendedahan senarai 101 projek rundingan terus oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OGOS 2020.
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Selepas mendakwa pelaksanaan Proklamasi Darurat hanya untuk menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri, Presiden Parti Amanah Negara juga menganggapnya satu yang sia-sia.

Mohamad Sabu berkata, walaupun pengisytiharan Proklamasi Darurat dikuatkuasakan namun peningkatan kes positif Covid-19 masih meningkat sehingga 17,000 kes semalam.

“Ertinya pengisytiharan darurat sia-sia, yang untung (Tan Sri) Muhyiddin Yassin kerana dia selamat lagi sampai sekarang.

“Memang apabila beberapa orang dalam kalangan rakan mereka lompat atau tidak mengiytiharkan sokongan, maka cepat-cepat Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon darurat.

“Darurat ini adalah darurat yang menyelamatkan Perdana Menteri, bukan menyelamatkan rakyat,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu dalam sesi Mesyuarat Khas Parlimen, hari ini.

Perikatan Nasional (PN) hari ini membentangkan penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, PPN adalah pelan pemulihan yang memberi tumpuan kepada strategi untuk keluar daripada ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan darurat adalah sesuatu yang tidak perlu.

Ini kerana kerajaan mempunyai agensi-agensi yang boleh menangani penularan Covid-19.

“Sebenarnya, tidak perlu darurat untuk kita hadapi masalah Covid-19, kita ada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mana boleh dikerahkan kakitangan polis, bomba tanpa perlu pengisytiharan darurat.

“Hari ini darurat ditarik senyap-senyap sebab kalau diundi saya yakin pihak kerajaan akan kalah sebab itu ditarik secara senyap-senyap.

“Darurat kali ini adalah satu yang langsung tidak perlu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast