JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerja-kerja pembaikan 13 kediaman yang terjejas teruk akibat ribut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada Jumaat lalu dilakukan dengan segera.
Sultan Ibrahim bertitah, wakil baginda, Mejar Cina Datuk David Wong akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi berhubung kejadian tersebut.
“Saya telah menitahkan 13 rumah yang terjejas teruk ketika ini segera dimulakan kerja-kerja pembaikan supaya kelak penduduk dapat pulang ke kediaman masing-masing,” titah baginda meneruma laman Facebook hari ini.
Pada kejadian itu, lebih 140 buah rumah di rosak teruk akibat dipukul angin kencang susulan hujan lebat berterusan selama dua jam.
Terdahulu, baginda mengemudi bot laju dari Mersing ke Jeti Awam Sedili Besar, sebelum berangkat melawat kawasan perkampungan itu bagi menyampaikan sumbangan peribadi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil dan Wong.
Sultan Ibrahim bertitah, kos membaik pulih beberapa kediaman itu akan dibiayai Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Sementara itu, Wong berkata, beliau akan mendapatkan maklumat kediaman lain terjejas daripada bencana alam termasuk kos membaiki daripada Hazlina. – MalaysiaGazette