Orang awam mengambil sumbangan akibat terkesan berikutan Covid-19 daripada Masjid India Business Association (MIBA) dan IPD Dang Wangi di pekarangan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JULAI 2021.

SEMENJAK akhir-akhir ini hangat diperbahaskan ketelusan pihak aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sinonim organisasi sukarela (Civil Society Organization) dalam menguruskan perbelanjaan dan penggunaan hasil dana sumbangan masyarakat awam yang telah diamanahkan untuk disampaikan kepada golongan penerima.

Lazimnya dana tersebut dihimpun oleh aktivis NGO dengan kempen bantuan kemanusiaan untuk membantu golongan sasaran yang terdiri daripada fakir dan miskin, anak yatim, mangsa bencana alam seperti banjir, mangsa kecelakaan seperti kemalangan dan kebakaran, mangsa kezaliman dan peperangan sama ada di dalam Malaysia atau di luar negara.

Sumbangan dana masyarakat awam ini boleh disebut dengan istilah (tabarru’) atau sumbangan derma. Secara umum, tabarru’ boleh didefinisikan sebagai usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau di masa akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Islam sangat menganjurkan seseorang Muslim untuk melakukan amalan tabarru’ dengan harta atau manfaat. Hal ini terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan seperti yang dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan” (Surah al-Ma’idah: 2).

Ayat tersebut menjelaskan perintah Allah SWT kepada masyarakat Islam supaya saling membantu dalam perkara kebajikan. Perbuatan makruf (kebaikan) yang diberikan kepada orang lain boleh dilakukan sama ada dengan menghulurkan bantuan kewangan atau sebarang manfaat.

Bagi memastikan pengurusan dana sumbangan derma masyarakat awam telus dan diurus dengan baik, patuh Syariah dan tanpa penyelewengan, terdapat beberapa langkah dan kaedah menurut perspektif Islam untuk menjamin kredibiliti pihak NGO.

Pertama, pihak NGO perlu memastikan pelaksanaan akad atau kontrak secara Islam seperti ijarah, ji’alah atau wakalah yang bersesuaian dalam kutipan dan pengurusan sumbangan derma masyarakat awam. Akad ijarah ialah upah atas pemanfaatan suatu benda, imbalan suatu kegiatan atau upah kerana melakukan aktiviti. Aplikasi dalam akad ini, ujrah adalah upah atau komisen yang boleh diambil oleh pihak NGO daripada wang dana yang disumbangkan oleh penderma dan manfaat pula ialah wang dana yang disalurkan kepada penerima bantuan.

Seterusnya, akad ji’alah pula bermaksud akad atas sesuatu manfaat yang akan diperolehi sebagai imbalan seperti yang dijanjikan terhadap sesuatu pekerjaan. Akad ini boleh diaplikasikan oleh pihak pengurusan NGO dalam memberi upah khas kepada para ahli atau aktivis sekiranya mencapai sasaran jumlah tertentu dalam menyempurnakan kutipan dana sesuatu misi atau projek kemanusiaan.

Selain itu, akad wakalah pula bererti penyerahan kekuasaan oleh seseorang kepada pihak lain dalam urusan yang boleh diwakilkan. Pihak yang mewakilkan dalam situasi ini ialah penderma dan pihak yang diwakilkan pula adalah NGO.

Kedua, pengambilan komisen yang munasabah dari sumbangan derma masyarakat awam. Komisen yang diambil itu boleh digunakan untuk kos pentadbiran, pengurusan, gaji pekerja, sewa bangunan, bayaran utiliti dan sebagainya. Hal ini diharuskan dan dibolehkan kerana ketiadaan sandaran atau dalil khusus dalam penentuan jumlah tertentu komisen yang wajar diambil.

Walaupun, Bank Negara Malaysia membenarkan 30% daripada perolehan NGO untuk digunakan untuk kos pentadbiran termasuk gaji pengasas atau pengerusi organisasi. Pihak NGO adalah dicadangkan hanya mengambil kurang atau sehingga 12.5% sahaja kerana ianya bersamaan dengan 1/8 upah amil zakat. Ini adalah berdasarkan justifikasi persamaan fungsi dan peranan yang dijalankan oleh pihak NGO dengan pihak institusi zakat atau amil.

Namun, yang lebih baik adalah hasil sumbangan derma tersebut disalurkan sepenuhnya 100% kepada sasaran penerima misi bantuan tanpa mengambil komisen. Sekaligus pihak NGO juga boleh membudayakan sumbangan khidmat tenaga, kenderaan, utiliti, kepakaran, kreativiti dan sebagainya secara percuma tanpa sebarang caj atau kos tertentu.

Ketiga, menyediakan dan membentangkan laporan kewangan pihak NGO secara telus supaya boleh menambahkan kredibiliti dan keyakinan pihak penderma bahawa sumbangan tersebut berjaya dan disampaikan kepada sasaran.

Walaupun, laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau lebih dikenali sebagai ROS, pihak NGO boleh mengambil inisiatif membuat laporan berkala secara bulanan, setengah tahun atau tahunan kepada masyarakat awam seperti yang dilakukan oleh institusi-institusi zakat di Malaysia dalam melaporkan kutipan dan agihan.

Laporan boleh dibuat dengan terperinci meliputi aspek jumlah keseluruhan kutipan sumbangan derma, jumlah komisen yang diambil berdasarkan perbelanjaan kos pentadbiran dan pengurusan, serta jumlah sumbangan yang disampaikan kepada penerima atau sasaran misi kemanusiaan dan kebajikan tersebut.

Keempat, pihak NGO perlu memastikan pengurusan kewangan hasil sumbangan derma masyarakat diurus melalui transaksi kewangan dan perbankan Islam bagi mengelakkan unsur-unsur haram seperti riba, ketidakpastian (gharar) dan judi (maysir). Hal ini menjadikan budaya patuh Syariah dapat diterapkan dalam pengurusan kewangan pihak NGO.

NGO dilihat mampu memainkan peranan yang besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan. NGO juga disebut sebagai sektor ketiga yang boleh membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemanusiaan, kemiskinan dan pengangguran ke arah kesejahteraan masyarakat.

Namun, terdapat segelintir masyarakat yang menyalahgunakan dengan mengambil kesempatan dan berselindung  di sebalik tujuan asal penubuhan NGO untuk melaksanakan aktiviti kemanusiaan dan kebajikan, tetapi pada masa yang sama terdapat niat untuk mencari keuntungan dan kesenangan.

Sewajarnya pihak NGO lebih serius terhadap isu ketelusan dan kredibiliti pengurusan dan pentadbiran kewangan hasil sumbangan derma masyarakat awam supaya menjadi pemangkin kepada budaya kedermawanan dan kesedaran membantu misi kemanusiaan dan kebajikan samada di Malaysia atau di luar negara.

Azri Bhari
Pakar Rujuk
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.