Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang hari ini mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengumumkan kerajaan telah membatalkan enam ordinan Proklamasi Darurat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas) tidak perlu berdolak dalih tentang keputusan itu yang secara jelas belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Menteri kata sudah batal, jadi kita nak tahu kalau belum, beritahu bahawa saya tersilap, maksud saya Kabinet yang putuskan dan baru nak persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan beri ruang untuk baginda perkenan.

“Ini nak dolak dalik dan ronggeng pula. Kalau tidak tiada kepercayaan dalam kepimpinan kerajaan untuk bercakap apa.

“Perkara spesifik begini tidak boleh jawab, kalau Yang di-Pertuan Agong perkenan saya percaya semalam lagi dia (Takiyuddin) jawab,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson (PKR) ketika mencelah penjelasan Takiyuddin dalam sidang khas Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina othman Said berkata, sesi penjelasan mengenai pembatalan enam ordinan darurat itu akan dibentangkan Takiyuddin pada Isnin depan.

Anwar dalam pada itu mengetengahkan mengapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Takiyuddin mengemukakan keputusan yang dibuat Kabinet biar pun belum mendapat perkenan Al-Sultan.

“Kalau belum dibatalkan kata belum. Umumnya, ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan tahu dengan perbahasan dua hari ini memang Yang di-Pertuan Agong belum perkenan.

“Jadi mengapa Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang tidak boleh jawab dalam proses atau pun kata kerja sedang dijalankan untuk dipersembahkan, ini memudahkan.

“Jangan buat helah umpamanya tunggu hari Isnin, kita bincang terkait dengan ordinan,” desaknya.

Semalam, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dalam hari pertama sidang khas Parlimen berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha membendung penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Kejahilan berhujah dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang dalam Dewan Rakyat semalam disifatkan seperti golongan yang ada ‘penyakit mental.’

    Tingkah laku ahli Parlimen pembangkang yang langsung tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Perdana Menteri serta mencemuh Menteri Kewangan pada sesi penggulungan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah perbuatan yang sungguh biadab.

Comments are closed.