GEORGE TOWN – “Saya terpaksa reda dengan keadaan kami sekeluarga walaupun perit melihat dua anak ini tidur bersama gelandangan lain di terminal bas Komtar,”.
Itu luahan Azmi Awang,39, yang kini terpaksa hidup bergelandangan susulan tidak mampu bayar sewa rumah di Seberang Perai selepas hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
Menurut Azmi, kehidupan mereka sekeluarga berubah sejak 3 bulan lalu selepas wang simpanannya habis, selain tidak mendapat tawaran kerja selepas majikan menamatkan kontraknya sebagai pengawal keselamatan pada April tahun lalu.
Jelasnya, dia, isteri serta dua anak yang masing-masing berusia lima dan 11 tahun itu hidup berpindah-randah sebagai gelandangan di beberapa lokasi sekitar negeri itu sejak tiga bulan lalu.
Kata Azmi, mereka akan memilih lokasi yang mudah memperoleh makanan bagi memastikan anak-anak tidak kelaparan.
“Sebelum ini, kami sekeluarga berteduh di terminal bas di Butterworth dan beberapa tempat lain di kawasan Seberang Perai. Terminal bas Komtar ini baru nak masuk seminggu.
“Memang hidup kami berempat mengharapkan apa saja yang disumbangkan golongan sukarelawan kepada gelandangan di sini.
“Dari segi makanan itu memang tak risau, cuma keselamatan anak-anak selain terdedah kepada persekitaran tidak sihat yang merunsingkan kami ketika ini,” katanya ketika ditemui di Terminal bas di Komtar di sini.
Difahamkan waktu malam, empat sekeluarga itu tidur dengan menghampar tikar di atas lantai terminal, selain menggunakan tandas awam berhampiran bagi membersih diri.
Mengulas lanjut Azmi berkata, sepanjang hidup bergelandangan ramai yang bersimpati dan janji mahu memberi tawaran pekerjaan namun sehingga kini tiada khabar.
Katanya, dia reda dengan keadaan yang dihadapinya memandangkan peluang pekerjaan kurang ketika ini berikutan ramai majikan terkesan akibat Covid-19.
“Kami tiada pilihan selain merempat sebegini. Ahli keluarga pun tidak membantu malah saya menjadi mangsa buangan keluarga selepas gambar kami tular di media sosial ketika tinggal di terminal bas Butterworth.
“Kalau diberi tawaran kerja, memang saya mahu agar kami sekeluarga dapat membina kehidupan baru,” jelas Azmi.
Orang ramai yang ingin membantu Azmi boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 157401193151 miliknya serta menghubunginya di talian 017 415 6531. – MalaysiaGazette
Lembaga Zakat PP ….. apa hang buat??