KUALA LUMPUR – Isu pembatalan Ordinan Darurat masih hangat diperdebatkan pada hari keempat sidang khas Parlimen hari ini
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, semua proses pembatalan Proklamasi Darurat perlu dibuat mengikut prosedur yang betul.
“Kita kedua-dua pihak bersetuju bahawa Proklamasi Darurat ini hendak dibatalkan, ordinan darurat ada tujuh saya lihat yang dibentangkan di atas meja kita dan telah dimaklumkan Kabinet telah membatalkan, kami setuju.
“Tetapi ada baiknya prosedur pembatalan Proklamasi Darurat dan ordinan itu kita buat mengikut proses sewajarnya dan undang-undang yang betul dan tertib.
“Kalau boleh, kita akan bagi ruang bagi Menteri Kewangan untuk bentangkan tapi kita selesaikan perkara ini kerana banyak implikasinya jika Proklamasi Darurat ini tidak dibatalkan dengan teratur akan timbul banyak masalah,” katanya ketika sesi urusan aturan mesyuarat sidang khas Parlimen, pagi ini.
Katanya, proses undang-undang bukan berada di tangan Kabinet tetapi dalam tangan Ahli-ahli Parlimen.
Justeru itu beliau memohon sedikit masa untuk proses pembatalan itu dibincangkan dan ditamatkan secara betul dan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kita batalkan untuk diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan proses sewajarnya itu kita lakulan sebaik-baiknya untuk rakyat dan negara,” katanya lagi.
Pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Ahli-ahli Parlimen bahawa kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.
Takiyuddin juga mengumumkan, kerajaan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos depan. – MalaysiaGazette