Para penduduk serta orang awam tidak melepaskan peluang untuk bersedekah pada tabung Masjid Kampung Nakhoda yang dibuat secara pandu lalu ketika tinjauan Malaysia Gazette di Kampung Nakhoda, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JULAI 2020.

ANCAMAN pandemik Covid-19 yang berlarutan hampir dua tahun sememangnya menjejaskan kelangsungan hidup masyarakat awam, sama ada kesejahteraan emosi, keselamatan nyawa mahupun kestabilan ekonomi. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan kini disusuli dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengurangkan impak pandemik ini meletakkan sebahagian besar masyarakat dalam dilemma, khususnya bagi mereka yang terkesan dari sudut mata pendapatan harian. Meskipun begitu, solidariti daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan, instituti korporat mahupun dana awam dalam mengharungi fasa-fasa sukar ini berjaya mengelakkan krisis kewangan yang lebih parah.

Budaya menderma, atau pendanaan awam (crowd funding) tanpa mengira perbezaan latar masyarakat benar-benar meletakkan rakyat Malaysia dalam kelasnya yang tersendiri. Derma atau sedekah merupakan suatu bentuk pemberian ikhlas dari hati yang bersih semata-mata untukmendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan-Nya. Amalan ini boleh dilaksanakan sama ada secara sembunyi melibatkan penderma dan penerima sahaja, ataupun secara terbuka menerusi aktivit pendanaan awam yang semakin mudah digerakkan dengan kecanggihan media sosial masa kini. "Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah: 271).

Menurut al-Maraghi, amalan sedekah yang dilakukan secara terbuka mampu menjadi contoh tauladan baik yang mendorong solidariti pihak lain untuk manfaat awam. Kerana itu, kita melihat kemunculan pelbagai NGO berpaksikan kebajikan bagi menguruskan kutipan dan penyaluran dana awam kepada pihak yang memerlukan. Namun begitu, mutakhir ini timbulnya isu berhubung ketelusan setiap NGO dalam menguruskan dana awam yang berjaya dikumpulkan daripada masyarakat. Dari satu sisi, sememangnya pengurusan dana awam ini memerlukan nilai keikhlasan dan kegigihan yang tinggi memandangkan ia bersifat kebajikan semata. Keikhlasan bukanlah suatu perkara yang mudah diukur menerusi penilaian luaran semata, kerana ia lebih dekat dengan percaturan hati nurani setiap manusia. Kerana itulah Rasulullah SAW pernah menegur tindakan seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid RA, yang pernah terkhilaf membunuh seorang lelaki yang mengucapkan syahadah.

Sewaktu menjalankan ekspedisi ketenteraan di sebuah daerah, Usamah dan sahabat lain berjaya mengepung seorang lelaki di pihak musuh. Ketika Usamah mengangkat pedangnya, lelaki tersebut tiba-tiba mengucapkan syahadah namun tidak diendahkan oleh beliau. Lelaki tersebut akhirnya tewas di hujung mata pedang Usamah. Ketika Rasulullah SAW mendengar peristiwa tersebut, Baginda berkata kepada Usamah, “Apakah kamu membunuhnya setelah dia mengucapkan “Laa Ilaaha illallah”?. Usamah membalas, “Wahai Rasulullah, dia mengucapkan kalimah itu hanya untuk melindungi dirinya semata.” Namun Rasulullah SAW menolak alasan tersebut seraya bersabda, “Mengapa tidak kamu membedah dadanya sehingga mengetahui perkataanya itu benar atau tidak?”
(Riwayat Muslim)

Bagi pihak pengurus dana pula, isu ketelusan dalam mengendalikan sumbangan awam bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Teguran daripada masyarakat awam perlu ditanggapi secara sabar dan bijaksana. Ini bagi memastikan setiap sumbangan yang dikumpulkan berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, iaitu membantu dan memanfaatkan masyarakat secara optimum. Sosok mulia seperti Umar al-Khattab sendiri tidak terkecuali daripada persepsi masyarakat berhubung isu ketelusan ini. Dengan kedudukan sebagai seorang Khalifah, sudah pastinya setiap tindak tanduknya menjadi perhatian dan penilaian masyarakat awam.

Diriwayatkan oleh Ibn Qayyim, bahawa pada suatu hari Umar al-Khattab berkhutbah dengan memakai jubah baharu yang sedikit labuh melebihi kebiasaan. Ketika itu, beliau menyeru kepada masyarakat supaya mentaati perintah Allah, Rasul-Nya dan juga para pemimpin mereka. Namun, bangun seorang lelaki meminta beliau menjelaskan sumber jubah baharu yang dipakainya, sama ada melibatkan dana awam atau dana peribadi. Mendengar ucapan lelaki tersebut, bangunlah anak lelakinya, Abdullah bin Umar RA memaklumkan bahawa pakaian tersebut merupakan hadiah daripadanya menggunakan dana sendiri. Mendengar penjelasan tersebut, lelaki itu berpuas hati lalu mengisytiharkan dokongannya kepada Umar al-Khattab. ‘

Di pihak Umar al-Khattab pula, tindakan lelaki tersebut diraikan sebagai platform memaparkan ketelusan beliau dalam menguruskan hal ehwal pentadbiran negara. Simbiosis harmoni antara pihak penderma, pengurus dana dan penerima bantuan ini sudah pastikan bakal mendatangkan manfaat kepada semua pihak, sama ada di dunia mahupun akhirat. Justeru, kebijaksanaan dan ketenangan merupakan kunci utama dalam memastikan setiap matlamat kebajikan yang digerakkan mampu direalisasikan sebaiknya. Pihak masyarakat seharusnya berperanan sebagai tulang belakang yang mendokong mereka dengan bantuan dan sokongan yang bersesuaian. Jika tekanan berpunca daripada desakan hidup, bantuan kewangan, makanan dan keperluan asas wajar dihulurkan.

Jika tekanan daripada ketidakstabilan emosi, maka nasihat, bimbingan dan sokongan teguh perlu diberikan. Sokongan psikososial masyarakat sangat penting buat masa ini dalam mewujudkan ekosistem yang selamat dan sejahtera. Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mempamerkan nilai integriti yang tinggi bagi memastikan bantuan ini disalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan. Ini sebagaimana pesan Rasulullah SAW kepada Qabishah bin Mukhariq, bahawa perbuatan meminta-minta itu tidak digalakkan kecuali dalam tiga situasi, iaitu penanggung hutang sehingga hutangnya dilunaskan, mereka yang ditimpa musibah dan kemusnahan harta sehingga keperluan asasnya dicukupkan, serta orang yang ditimpa kemiskinan, bagi menampung kehidupannya.

Bagi mereka yang menghulurkan bantuan pula, sewajarnya berusaha menahan diri daripada menjadikan penerima bantuan sebagai modal pelaris media sosial. Identiti setiap penerima perlu kekal terjamin kerahsiaannya melainkan dalam keadaan yang dirasakan benar-benar perlu. Ini bertujuan memelihara maruah dan kehormatan mereka meskipun dalam situasi mendesak ini.

Dr Khairul Azhar Meerangani
Pensyarah Kanan
Pengajian Akademi Islam Kontemporari
Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast