KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang perlu berjiwa besar memohon keampunan Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan yang berlaku.
Itu pandangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad merujuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Menyedari episod hitam yang berlaku maka perlu ada kemahuan politik mengembalikan kredibiliti Dewan Rakyat dalam menentukan keabsahan kerajaan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Saarani berkata, BN Perak menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang menzahirkan perasaan amat dukacita berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
“Adalah amat malang apabila keprihatinan Seri paduka badinda dalam soal menangani krisis Covid-19 yang mencengkam kehidupan rakyat bukan sahaja dikesampingkan malah tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan YDPA jelas mencabuli prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen,” katanya.
BN Perak, katanya, bimbang perkembangan itu bukan sahaja memberi implikasi besar terhadap kedaulatan undang-undang malah dikhuatiri menjerumuskan negara ke kancah krisis Perlembagaan yang sepatutnya tidak berlaku dalam masa negara menghadapi Covid-19.- MalaysiaGazette