Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Istana Negara sudah jelas menunjukkan pembatalan Ordinan Darurat yang dilakukan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membelakangkan Yang di Pertuan Agong, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah dibuat tanpa perkenan baginda.

Lantaran itu, katanya, tindakan kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara telah mengundang murka Yang Di Pertuan Agong.

”Mereka telah tidak melaksanakan titah baginda agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

”Tindakan Kerajaan dalam perkara ini adalah tidak berparlimen, tidak berpelembagaan dan telah meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, Mohamad berkata, mereka yang berkaitan mesti mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera kerana institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggunjawab ini.

”Peristiwa ini adalah titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette