IPOH – Seorang pemandu bas sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lepas.

K.Ravichandran, 53, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di atas motosikalnya yang dinaiki kanak-kanak berkenaan ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di sini, pada 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamini Karunananthan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast