KUALA LUMPUR – Bukan sahaja muslim bahkan orang bukan Islam di negara ini perlu menghormati bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran dalam majlis rasmi atau sebaliknya.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan berkata, hal itu perlu lebih diberi penekanan terutama apabila bacaan tersebut dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang telah meninggal dunia termasukl kematian yang diakibatkan Covid-19, kemalangan dan sebagainya.
Apatah lagi negara ini merupakan telah menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Di negara Malaysia, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa.
“Situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Menurut Abdul Aziz lagi, agama Islam turut mengajar dan mengutamakan sikap hormat menghormati antara satu sama lain.
Baru-baru ini tular video di media sosial ketika persidangan Dewan Rakyat menunjukkan segelintir ahli Parlimen yang mengganggu serta menjerit ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membacakan al-Fatihah kepada semua mangsa Covid-19.
Meskipun diganggu namun Muhyiddin tetap menghabiskan bacaannya.-MalaysiaGazette