Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan barang rampasan pada sidang media Perkembangan Siasatan Kes Bunuh di Daerah Dang Wangi di IPD Kuala Lumpur, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan yang disyaki menjadi keldai akaun satu sindiket penipuan didapati mati dibunuh di sebuah bilik hotel di ibu kota baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia bermula apabila polis menerima laporan polis daripada isteri mangsa yang menyatakan suaminya hilang dan gagal dihubungi selepas meninggalkan rumah pada 29 Julai lalu yang diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Menurut pengadu wanita, suaminya dibawa oleh rakan kenalannya dan berada di sebuah apartmen di Jalan Kuching.

Isteri mangsa juga menyampaikan maklumat kepada pihak polis bahawa seorang rakan kenalan suami telah membawa mangsa ke sebuah hotel di Jalan Bukit Ceylon di sini pada 29 Julai lalu.

“Berbekalkan maklumat, sekitar pukul 4 pagi 31 Julai lalu polis telah menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Bukit Ceylon sebelum menemui seorang lelaki terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedar diri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, bertindak atas maklumat, polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuat serbuan di sebuah unit apartmen di Jalan Kuching sebelum hasil pemeriksaan berjaya menyelamatkan lima lelaki warga tempatan termasuk seorang wanita yang disyaki mangsa keldai akaun dan dikurung oleh sindiket di kediaman yang sama.

Tambah Azmi, polis telah menghubungi pegawai perubatan sebelum pemeriksaan telah mengesahkan mangsa sudah tidak bernyawa dan telah meninggal dunia.

Hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup hotel berkenaan polis berjaya mengesan lima lelaki sebagai individu terakhir yang berada bersama si mati di bilik tersebut.

“Bertindak atas risikan dan maklumat, polis Jenayah Berat Siasatan Khas D9 IPK KL dan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki warga tempatan yang berusia 18 hingga 26 tahun disyaki terlibat dalam pembunuhan.

“Tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki warga tempatan dilakukan di Jalan Kuching sekitar pukul 5.10 petang Sabtu lalu sebelum enam lagi suspek berjaya dicekup sekitar pukul 2.15 pagi pada Ahad lalu di sebuah kediaman di Bangsar South.

“Pemeriksaan di kediaman suspek berjaya merampas wang tunai RM24,901, sebuah pistol angin beserta satu kelopak peluru bearing, satu bungkus bebola besi dan plastik disyaki peluru pistol angin.

“Selain itu polis juga merampas 31 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 35 keping kad sim, sebuah komputer riba, 34 keping kad bank, sebuah motosikal jenis Yamaha LC, sebuah kereta jenis Honda Civic, serangkai kunci dan pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya.

Menurut Azmi, polis sedang menyiasat motif kejadian selain menyiasat kewujudan sindiket penipuan menggunakan akaun keldai dalam kes berkenaan.

Hasil bedah siasat telah dijalankan semalam mendapati punca kematian mangsa disebabkan senjata tumpul di muka dan kepala sehingga mengakibatkan pendarahan bawah selaput otak.

Kesemua tangkapan telah direman selama enam hari sehingga 6 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan, seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan lebam di pergelangan tangan dan dahi di sebuah bilik yang di hotel di Lorong Ceylon, Bukit Bintang selepas menerima laporan tentang kehilangan mangsa dari isterinya Jumaat 29 Julai lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Lelaki mati dipercayai dibunuh atas katil