KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dinasihatkan agar tidak terus menjadi agen penghancur dalaman UMNO.
Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Zulkepli Omar berkata, bekas Timbalan Menteri itu sebaliknya perlu kuat berusaha membantu UMNO memulihkan kepercayaan rakyat, sekali gus mampu mentadbir semula negara ini.
Dalam masa sama, Puad turut digesa agar mencurahkan sokongan terhadap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Timbalan Perdana Menteri.
“Kita sepatutnya bertolak-ansur dan bekerjasama antara satu sama lain, dalam situasi sekarang, sekiranya UMNO bercakaran sesama sendiri sudah pasti kepercayaan rakyat sudah tidak ada kepada UMNO.
“Maka sebab itu saya amat berharap agar UMNO kembali bersatu dan buang persengketaan sesama kita dan fokus membantu rakyat dalam situasi yang amat memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gesaan itu dizahirkan Zulkepli beberapa jam selepas Puad mengeluarkan kenyataan mengingatkan Ismail Sabri bahawa beliau tidak boleh melangkaui kepemimpinan parti meskipun memegang jawatan dalam kerajaan.
Katanya, jawatan TPM yang disandang Ismail Sabri bukan tiket untuk ‘bulldoze’ Presiden UMNO sebaliknya perlu mendapat persetujuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekiranya ada isu-isu yang berkaitan dengan parti.
Kenyataan itu mengulas laporan pertemuan antara Ismail Sabri dengan 40 Ahli Parlimen BN di Parlimen pada Khamis lalu berhubung sokongan untuk mengekalkan Kerajaan PN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Zulkepli turut kecewa dengan sikap Puad yang mengkritik banyak pihak dan mengambil pendirian pelbagai pihak membuat keputusan yang tidak tepat.
Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak dalam parti memberi fokus apa yang lebih penting untuk didahulukan dan mengetepikan apa yang tidak mendatangkan kebaikan.
“Bermakna, percakaran sesama kita, kita belakangkan. Kita fokus membela rakyat, itu yang penting bagi saya, jangan khianati parti dan meletakkan kepentingan parti paling utama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Kamu lah batu api selama ini, nampak reda sikit kamu curah minyak dalam api, kamu tak fikir ke negara sedang menghadapi masaalah kesihatan global. Sampai bila bila pun melayu tak akan bersatu di bawah panji panji melayu islam kalau orang jenis macam kamu masih hidup diatas muka bumi ni. Cuba letak belas kasihan kepada rakyat yang menjadi mangsa politiking yang tidak berkesudahan. Tak boleh ke guna akal yang Allah taala titipkan itu untuk berfikir secara rasional untuk membantu kerajaan yang ada sekarang ini bersama sama melandaikan dan memutuskan rantaian covid19 ini sementara menunggu PRU15, bagi penerangan yang betul kepada rakyat tentang situasi sekarang ini. Ramai yang mati kerana covid19 entah esok atau lusa akan tiba giliran kita pula. Sebagai pemimpin politik kamu harus bijak memainkan peranan demi untuk rakyat malaysia terutama dikawasan kamu.