Central Fire Station atau Balai Bomba Pusat di Jalan Lebuh Pantai, Pulau Pinang merupakan balai bomba tertua yang masih beroperasi dalam negara.

GEORGE TOWN – Memiliki sejarah balai bomba tertua yang masih beroperasi di negara ini menjadikan Balai Bomba Pusat (Central Fire Station) di Lebuh Pantai di sini sebagai satu ikon pelancongan Pulau Pinang.

Bangunan berusia 113 tahun terletak di Tapak Warisan Dunia itu turut menggamit pelancongan dalam dan luar negara singgah menyingkap nostalgia lama kerana reka bentuk bangunan itu kekal sejak penubuhannya pada tahun 1908.

Lebih menarik, bangunan yang sama turut menempatkan polis pada tahun 1792 sebelum sistem kepolisan berkuatkuasa pada 25 Mac 1807.

Muzzamer Mohd Salleh.

Ketua BBP Jalan Lebuh Pantai, Muzzamer Mohd Salleh berkata, balai bomba yang mempunyai 28 anggota termasuk dirinya itu beroperasi seperti balai-balai bomba lain.

Jelas beliau, tugasnya sebagai orang utama di balai itu berbeza berbanding balai bomba lain memandangkan beliau perlu memastikan warisan bangunan itu sentiasa terjaga.

Kata Muzzamer, kehadiran pelancong sebelum pandemik Covid-19 ke balai bomba berkenaan sudah biasa bagi mereka dan tidak mengganggu tugas hakiki sebagai anggota bomba memandangkan tugas mereka keluar bagi sebarang operasi menyelamat menjadi tarikan buat orang ramai.

Muzzamer menunjukkan pakaian seragam bomba yang ditempatkan dalam galeri untuk perhatian pelancong.

“Sebelum Covid-19 balai ini boleh dikatakan sentiasa ada saja pelancong dalam dan luar negara singgah tambahan pula ia antara tersenarai dalam peta kerajaan negeri sebagai lokasi wajib dikunjungi pelancong ke negeri ini.

“Selain itu, ramai bekas anggota bomba luar negara akan kunjungi balai ini untuk merakamkan gambar kenangan serta mengetahui lebih terperinci tugas bomba Malaysia.

Gambar pihak bomba pada kebakaran pada tahun 1980 an antara dipamerkan dalam mini galeri tersebut.

“Bagi pelancong tempatan pula, mereka gemar ke sini untuk memberi peluang kepada anak kecil memakai pakaian seragam serta cara bomba mengendali peralatan kebombaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Muzzamer, dalam usaha mengembalikan nostalgia bangunan empat tingkat itu nama Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ditukarkan ke nama asalnya sebagai Balai Bomba Pusat pada tahun 2019.

Antara peralatan bomba yang dipamerkan.

Kata beliau, bagi mengembalikan lebih banyak nostalgia sebagai pasukan pertama menawarkan perkhidmatan kebombaan di Pulau Pinang mereka turut mewujudkan sebuah mini galeri.

“Antara barang yang dipamerkan adalah gambar-gambar pihak bomba memadamkan api pada tahun 1980 an, peralatan bomba termasuk pakaian bomba pada tahun 1900an hingga terkini.

Muzzamer menunjukkan peralatan bomba yang digunakan sebelum ini.

“Mini galeri itu ilham ketua balai terdahulu, Mohamad Rafizi Arafpin dan setiap barang termasuk pakaian yang dipamerkan di galeri itu disediakan sendiri oleh anggota bomba,” ujar Muzzamer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast