Zuraida (dua dari kiri) meninjau kebun komuniti yang diusahakan penduduk PPR.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) cuba mengoptimumkan penggunaan tanah serta ruang persekitaran dengan memperkenalkan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB).

Menjelaskan dasar itu, Menteri berkenaan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usaha itu untuk menggalakkan rakyat melakukan aktiviti perkebunan dengan sasaran kementerian 1 PPR, 1 Kebun Komuniti.

Kata beliau, dasar itu diperkenalkannya sebagai langkah memperkasakan komuniti bandar dengan membangunkan kebun secara tersusun, sistematik, organik dan mampan di kawasan bandar.

“Ini selari dengan peranan KPKT sebagai peneraju kemakmuran komuniti bandar dan persekitaran mampan.

“Namun, DKKB relevan digunapakai bukan hanya di kalangan komuniti bandar, tetapi juga oleh orang ramai yang berminat melakukan aktiviti perkebunan sama ada secara berkelompok mahupun perseorangan.

“Dasar ini dibangunkan beserta dengan garis panduan komprehensif dari aspek mengurus, merancang, mereka bentuk, membangun dan melaksanakan kebun komuniti secara teratur mengikut peraturan serta prosedur sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan DKKB secara live streaming di Facebook KPKT Malaysia hari ini.

Kata Zuraida, sejak 1997, kementerian itu telah menggerakkan pelbagai program berkaitan perkebunan iaitu kebun komuniti menerusi program Semai Indah, program Tanam, Ternak dan Makan Sendiri serta menggalakkan komuniti bercucuk tanam di kawasan perumahan.

Pada 2018 pula, KPKT menggubal Dasar Komuniti Negara (DKN) dengan memberi fokus kepada usaha mendaya upayakan komuniti terutama yang mendiami kawasan perumahan berstrata di bandar.

Di bawah DKN, inisiatif Kebun Komuniti itu giat dilaksanakan dengan penglibatan penduduk tempatan menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK).

Sehingga kini, katanya, sebanyak 14 PPR mempunyai Kebun Komuniti dan menghasilkan tuaian sayur-sayuran seperti tanaman terung, kangkung, bayam, cili, kubis, kailan dan sawi.

“Kita juga merencanakan program ini sebagai amalan perkebunan berhemah dalam bandar untuk memastikan rakyat dapat meraih hasil makanan yang segar, bebas kimia dan berkualiti untuk keperluan harian, di samping menjana sumber pendapatan alternatif.

“Dasar ini turut dilihat sebagai serampang dua mata yang dapat menangani cabaran baharu berikutan kepesatan pembangunan dan penularan wabak Covid-19,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai DKKB, Zuraida berkata, dasar itu dirangka khusus untuk menepati pembangunan program Kebun Komuniti bandar secara menyeluruh.

Ini katanya, melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan, peraturan dan pengekalan persekitaran sedia ada agar kekal mampan dan lestari.

Jelas beliau lagi, kerajaan mewujudkan kerjasama tanpa membatasi agensi, tidak kira badan kerajaan atau badan bukan kerajaan demi memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Pelbagai usaha telah kerajaan lakukan untuk menangani permasalahan sosial yang dihadapi oleh rakyat termasuk mewujudkan kesejahteraan menerusi dasar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast