Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah melaksanakan program mentor untuk meningkatkan pembelajaran dan memberikan pengalaman yang berguna kepada peserta tempatan yang menyertai operasi syarikat di bawah inisiatif Kerajaan iaitu Short-Term Employment Programme (MySTEP).

MRL, pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665-km, sehingga hari ini, telah merekrut seramai 150 peserta MySTEP yang merangkumi individu berkelayakan dari bidang kemahiran seperti kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, keselamatan & kesihatan, persekitaran, jaminan kualiti, reka bentuk & seni bina, teknologi maklumat, dan pentadbiran.

MRL mensasarkan peningkatan pengambilan peserta MySTEP kepada 200 peserta untuk beberapa bulan akan datang.

Pengerusi MRL Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, program MySTEP merupakan usaha penting mendorong semangat bekerja terutama di kalangan belia semasa tempoh pandemik Covid-19 di sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

MySTEP juga bertujuan menyediakan peluang pekerjaan secara kontrak dalam pelbagai kemahiran, pengetahuan, dan kepakaran yang boleh dipertimbangkan oleh individu yang berminat.

“Selari dengan pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen, kerajaan telah menggalakkan entitimilik kerajaan untuk proaktif merekrut warganegara Malaysia di bawah program MySTEP dalam memastikan pekerjaan dan kesejahteraan rakyat terpelihara dan sekaligus membantu dari segi pemulihan dan pembangunan ekonomi negara sebelum akhir tahun ini” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuki menambah, peserta program MySTEP akan dilatih oleh pakar-pakar industri dan berpeluang memperoleh pengalaman dalam bidang masing-masing yang secara langsung menyediakan peluang kepada peserta MYSTEP meneraju peluang kerjaya dan prospek di pasaran kerja.

Bagi memanfaatkan program MySTEP, MRL telah melantik beberapa mentor berpangkat eksekutif kanan dan ke atas untuk setiap peserta MySTEP (mentee) sebagai usaha membantu mereka membina kepercayaan diri dan ketetapan matlamat sepanjang 6 bulan atau 1 tahun bersama MRL.

Menurut MRL, mentee-mentee tersebut akan menjalani latihan dalaman, latihan praktikal dan peningkatan kemahiran bagi memastikan prestasi kerja yang efektif selain dikehendaki menghantar laporan kemajuan kerja setiap suku tahun bagi tujuan pertumbuhan kerjaya.

Sehingga kini, seramai 134 orang mentee telah pun ditempatkan di tapak projek ECRL di negeri-negeri di Pantai Timur sementara 16 orang mentee lagi ditempatkan di ibu pejabat di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, MRL berterima kasih kerana dapat mengambil bahagian dalam inisiatif MySTEP yang diperkenalkan oleh kerajaan dan merekrut tenaga pekerja dalam suasana pandemik Covid-19 memandangkan kerja-kerja
pembinaan ECRL sedang berjalan dibawah SOP yang ketat serta sedang bersiap sedia ke arah tempoh kemuncak pembinaan pada tahun 2022.

“Program mentor oleh MRL untuk peserta MySTEP (mentee) membolehkan mereka memaksimumkan potensi dan mempamerkan kemahiran mereka kepada mentor masing-masing secara menyeluruh sepanjang program tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, program mentor ini adalah selari dengan usaha syarikat dalam mewujudkan persekitaran pekerjaan yang selamat dan saling menyokong antara satu sama lain terutamanya di tapak projek ECRL dimana tahap kemajuan pembinaan yang cepat memerlukan kepatuhan yang tinggi dalam pengurusan kesihatan, keselamatan & persekitaran (HSE) beserta contoh yang baik oleh individu dalam syarikat.

“MRL optimis bahawa mentee yang cekap dan rajin akan meningkatkan kebolehpasaran mereka setelah selesai tempoh program dan memiliki prospek untuk menceburi kerja dalam projek-projek pembinaan rel atau pengendali-pengendali kereta api di rantau ini,” tambahnya.

Bagi peserta MySTEP dengan ijazah kejuruteraan yang diiktiraf, MRL akan membantu memulakan proses pendaftaran mereka sebagai Jurutera Siswazah dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sebagai memenuhi tempoh wajib perkhidmatan praktikal selama tiga tahun yang merupakan prasyarat bagi permohonan akreditasi sebagai Jurutera Profesional di masa hadapan. – MalaysiaGazette