KUALA LUMPUR – Sebagai parti gabungan yang sama-sama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas kekal konsisten menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Ini dinyatakan Naib Presidennya, Senator Idris Ahmad yang mahu bersama kepimpinan Muhyiddin memberi tumpuan menangani wabak Covid-19 menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kata beliau, dalam melaksanakan usaha itu, tidak sepatutnya mana-mana pihak mengganggu dengan sebarang campur tangan politik bagi melambatkan peralihan negara keluar daripada kemelut pandemik itu.
“Kejayaan demi kejayaan telah dicapai terutama kadar vaksinasi yang konsisten mencapai sehingga 500,000 dos suntikan sehari.
“Ini terbukti dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai tiga negeri iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah beralih ke fasa tiga PPN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Idris, Pas bersiap sedia memberikan bantuan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara melalui Jabatan Amal Malaysia sebagai komitmen bersama petugas barisan hadapan.
Sementara itu, UMNO yang turut bersama kerajaan PN belum menyatakan secara rasmi pendiriannya kepada Muhyiddin.
Keputusan itu bagaimanapun, akan diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid jam 4 petang ini. – MalaysiaGazette