Gambar tular membabitkan serbuan polis di rumah pasangan suami isteri yang didakwa dikasari dan dipukul oleh polis Sabtu lalu sedang disiasat polis.

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat dakwaan pasangan suami isteri kononnya mereka telah dipukul dan dikasari sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju seperti tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D. Saralathan berkata, pihaknya telah mengesan hantaran yang mengandungi gambar serta laporan polis berhubung perkara itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, Gan Gong.

Semakan polis mendapati sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju telah melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Setapak pukul 4.40 petang pada 25 Julai lalu.

“Semasa serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia 41 tahun bersama isterinya berusia  31 tahun membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menjerit ke arah polis yang menjalankan tugas bagi mendapatkan perhatian penduduk di sekitar tempat tinggal mereka.

“Mereka juga tidak memberikan kerjasama dan menghalang anggota bertugas menjalankan tugas sehingga berlaku pergelutan antara polis dengan pasangan suami isteri terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Saralathan, kedua-dua suspek berkenaan telah dibawa ke Pejabat Narkotik IPD Wangsa Maju untuk ujian saringan air kencing.

Hasil ujian saringan ke atas mereka mendapati suspek lelaki positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala isterinya dikesan negatif dadah.

“Kedua-dua suspek kemudian turut ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Selepas mereka dibebaskan dengan jaminan polis, pasangan itu tampil membuat satu laporan di Balai Polis Setapak mendakwa mereka dipukul polis jam 2.32 petang pada Sabtu lalu.

“Rentetan laporan polis pasangan itu, satu kertas inkuiri polis telah pun dibuka bagi menyiasat tindakan polis sama ada mengikut peraturan serta undang-undang yang diperuntuk atau sebaliknya.

“Siasatan terperinci dan telus akan dijalankan dan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika wujud sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dinasihati supaya menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran.-MalaysiaGazette