Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan, Amihizam Abdul Shukor dalam sidang media sindiket judi jadikan beberapa rumah apartmen sebagai markas pusat panggilan untuk klien tempatan dan asing lumpuh dengan tertangkapnya 19 anggota sindiket tersebut.

SUBANG JAYA- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket judi yang menjadikan lima unit apartmen di USJ 21 sebagai markas pusat panggilan untuk pasaran tempatan, Indonesia dan Myanmar.

Dalam serbuan Isnin lalu, polis berjaya menahan seramai 19 individu yang disyaki ahli sindiket tersebut berumur antara 21 hingga 35 tahun.

Mereka yang ditahan itu termasuk empat warga Indonesia dan seorang wanita Myanmar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan, Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan bermula jam 6.50 petang hingga 9.30 malam itu dikendalikan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di tingkat 31 apartmen USJ 21 itu, tangkapan dibuat ke atas empat lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun hingga 30 tahun dan tiga unit komputer, enam unit telefon bimbit dan modem dirampas dari mereka.

Seterusnya serbuan kedua dilakukan di tingkat 25 dan menangkap menangkap tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 35 tahun, dua lelaki dan seorang wanita Myanmar berusia 21 tahun hingga 29 tahun.

“Ia kemudian membawa kepada serbuan dan tangkapan ketiga ke atas dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar di tingkat 20 yang berusia 21 tahun hingga 47 tahun,” katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya, petang tadi.

Tambah beliau Amihizam, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dalam serbuan susulan di tingkat 23 apartmen sama manakala serbuan terakhir di tingkat 12 pula berjaya membawa penangkapan dua wanita tempatan dan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun hingga 25 tahun.

“Siasatan awal, pusat panggilan ini menawarkan khidmat judi dalam talian kepada pelanggan di pasaran Malaysia, Indonesia dan Myanmar dengan menggunakan aplikasi Facebook dan Wechat.

“Sindiket ini sudah beroperasi selama dua bulan lalu dengan mengaut keuntungan dianggarkan RM1.4 juta setakat ini (RM700,000 sebulan) yang mana suspek bekerja sebagai operator dengan bayaran gaji RM2,000 hingga RM4,000 sebulan,” ujarnya.

Kesemua 19 suspek sudah direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a) / 4(1)(c) / 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terbabit dalam penganjuran judi dalam talian.

Sementara suspek warga asing pula disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast