Sebahagian pesakit Covid-19 yang dirawat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menjelaskan tiada pesakit didapati duduk di atas lantai atau kadboad di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Serentak itu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi menafikan dakwaan laporan sebuah portal yang mendakwa peralatan perubatan di hospital berkenaan tidak mencukupi.

“Pihak hospital ingin menjelaskan setelah semakan dan siasatan dibuat tiada pesakit didapati duduk di atas lantai atau kadbod,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malah, katanya, jabatan tersebut sedang menunggu pembukaan hospital lapangan HTAR yang dijangka beroperasi dalam beberapa hari bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang agak ramai.

Pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma di wad sementara di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi dengan pendingin hawa.

Dr Zulkarnain berkata, sekiranya tidak ada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu.

Justeru dakwaan pesakit duduk di atas lantai beralaskan kadbod adalah tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast