SMART SBB di Sungai Batu Pahat, Perlis. Foto: Bernas

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pemulihan infrastruktur dan tanah serta penanaman padi di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sedang giat dijalankan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersama agensi-agensi lain.

Antara yang sedang dibangunkan ketika ini adalah tanah sawah yang sudah lebih 10 tahun terbiar seperti di Kampung Kulambai Kota Belud, Sabah dan kawasan luar jelapang seperti Sungai Batu Pahat di Perlis.

Bernas berkata, syarikat ini  bekerjasama dengan hampir 200 pesawah yang mana mereka turut didedahkan dengan teknik serta amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar.

Penggunaan jentera dan teknologi terkini atau Internet of Things (IoT) yang dilihat dapat memudahkan kerja-kerja ladang akan turut diperkenalkan kepada warga tani bagi mewujudkan sistem pertanian yang lebih terancang.

Ini sekaligus dapat menjimatkan kos penanaman secara menyeluruh, selain membantu pesawah memperolehi hasil tuaian yang baik.

SMART SBB  adalah program kolaborasi di antara Bernas dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan, MADA, KADA, IADA dan lain-lain.

Di samping itu, Bernas berkata, SMART SBB ini turut dilaksanakan bersama Pengilang Bumiputera; sebagai contoh program di antara Bernas dan Kilang Beras Dibuk di Perlis.

“Bermula dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernas dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada awal tahun, SMART SBB adalah salah satu inisiatif MAFI bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat.

“Sistem berpusat ini dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast