Friday, April 19, 2024
Home Nasional Nak tukar hakim selepas perbicaraan sudah berakhir dan keputusan sudah buat? –...

Nak tukar hakim selepas perbicaraan sudah berakhir dan keputusan sudah buat? – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto AFFAN FAUZI, 27 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau pernah meminta Tan Sri Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuan kes SRC International Sdn. Bhd.

Katanya, beliau pernah bertemu dengan Muhyiddin sekali sahaja sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu pada akhir Disember 2020 sedangkan hakim yang mengendalikan kes itu telah menjatuhkan hukuman pada Julai 2020.

Menurut Najib, pada pertemuan dengan Perdana Menteri, beliau mahu menjelaskan isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada akaun 1 yang banyak syarat ketika itu selain menyentuh tentang perkembangan kes mahkamahnya yang membabitkan hakim tidak berpengalaman mengendalikan kes tersebut.

“Nak tukar hakim selepas perbicaraan sudah berakhir dan keputusan hakim sudah buat ke?,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa terdapat pihak yang mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah meminta Muhyiddin menggugurkan kes beliau manakala Najib pula pernah meminta Perdana Menteri menukar hakim dalam proses rayuan kes tersebut.

Pada 27 Julai tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta.

‪Keputusan disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Najib mendakwa, dalam pertemuan itu Muhyiddin menyatakan dia tidak tahu mengenai hakim yang tiada pengalaman telah mengendalikan kes berprofil tinggi dan beliau berkata bahawa Barisan Nasional (BN) perlu menyokongnya kerana beliau adalah Perdana Menteri paling popular.
Najib berkata, adalah mustahil untuk beliau meminta hakim mahkamah rayuan ditukar sebab tiga hakim bagi mahkamah rayuan hanya dipilih pada bulan April 2021 sedangkan perjumpaan dengan Muhyiddin berlangsung pada Disember 2020.
“Tambahan pula, perhimpunan Agung UMNO sudahpun berlangsung pada bulan Mac 2021 dengan keputusan tarik diri dari kerajaan PN – iaitu juga sebelum pemilihan hakim mahkamah rayuan.
“Jadi, macam mana pulak saya minta tukar hakim sedangkan hakim belum dilantik dan UMNO sudah putuskan untuk tarik diri dari PPBM?” soalnya.
Berikutan itu, Najib meminta Wan Saiful membuat laporan polis mengenai dakwaannya itu serta menyatakan bila beliau pernah meminta Muhyiddin menukar hakim bagi kes yang dihadapinya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SETIAP HARI BERTELAGAH SESAMA MELAYU ISLAM….UMPAMA MENANG SORAK TAPI AKHIRNYA TERGADAI MARUAH ….MUSUH2 TERSEMYUM RIANG MENUNGGU PELUANG TERHIDANG YANG DIKORBANKAN PARA PETUALANG ANGKARA DEMAM KESUMAT HINGGA KIAMAT

Comments are closed.