SEDARKAH kita, negara sedang berada dalam keadaan tenat? Bukan sahaja tenat dalam
sektor kesihatan malah sektor-sektor lain turut terkesan seperti sosial, ekonomi dan politik. Buktinya kita boleh lihat kes-kes bunuh diri sering menghiasi dada akhbar, pelabur-pelabur asing menjauhkan diri dari negara, ada ahli politik yang kelihatan gila kuasa tetapi tidak mahu membuat kerja.
Minggu lalu rakyat Malaysia telah disajikan dengan drama ahli politik di Parlimen. Kita boleh menilai sendiri sikap wakil-wakil rakyat kita di sana. Apakah parlimen itu berfungsi yang sepatutnya?
Bagi membincangkan dan mencari solusi terhadap krisis yang melanda negara kini, baru-
baru ini Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama Sinar Harian telah menganjurkan
satu forum Analisis ‘Negara Dalam Krisis, Apakah Solusi Terbaik?’ secara maya pada 18
Julai lalu.
Sayed Munawar Sayed Mustar iaitu Anchor Dialektika TV telah menjadi moderator dalam
perbincangan ini bersama empat orang ahli panel yang telah dijemput. Mereka ialah Datuk Seri Nazir Razak, Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital. Faisal Abdul Aziz, Presiden ABIM, Haji Badlishah Sham Baharin, Timbalan Presiden IKRAM dan Puan Firdaus Husni, Ketua Strategi Hak Asasi Manusia, Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR).
Sistem sudah lama merosot
Menurut Datuk Seri Nazir, beliau telah menyatakan bahawa sistem negara kita telah lama
mengalami kemerosotan yakni sebelum pandemik melanda lagi. Kemerosotan sistem ini sedikit sebanyak telah menyukarkan keadaan kita sebagai rakyat seperti sukar mendapat pekerjaan, rasuah berleluasa, harga barang yang mahal dan banyak lagi.
Kedatangan pandemik secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda telah memberi kesan yang
sangat buruk kepada masyarakat dan negara. Bak kata pepatah Melayu, “ibarat jatuh
ditimpa tangga.” Keadaan rakyat semakin dihimpit.
Kalau dahulu sukar mendapat pekerjaan, sekarang kita boleh lihat berapa ramai yang hilang pekerjaan. Syarikat-syarikat gergasi juga turut terkesan. Negara juga hilang pelabur asing.
Parlimen yang tidak berfungsi
Disebabkan pandemik ini jugalah Perdana Menteri telah membuat keputusan untuk
menggantung parlimen. Walaupun parlimen telah dibuka pada 26 Julai yang lepas, namun
keadaannya sangat mendukacitkan.
Puan Firdaus Husni turut menyatakan pandanganya bahawa sesi persidangan parlimen
pada kali ini yakni dalam konteks lima hari bersidang tidak mampu mengembalikan fungsi
parlimen sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang.
Hari ini, saya kira kita boleh bersetuju dengan pandangan yang dilemparkan oleh Puan
Firdaus ini. Ahli parlimen bukan sahaja tidak berfungsi dengan baik, malah tidak
menunjukkan adab yang baik.
Keputusan menggantung parlimen di saat negara sedang menghadapi krisis begini
bukanlah keputusan yang bijak. Pemimpin tidak dapat mengawal keadaan tanpa ada semak dan imbang daripada pembangkang. Kesannya rakyat jualah yang menderita.
Saudara Faisal ada menyebut bahawa di New Zealand, parlimen tidak perlu digantung.
Namun mereka berjaya mengawal penularan kes Covid-19. Berbeza sekali di Malaysia ya?
Rakyat bantu rakyat
Akhirnya, rakyatlah yang berinisiatif untuk rakyat. Kita boleh lihat wujudnya inisiatif Bendera Putih. Alangkah malangnya negara ini, pemimpinnya sibuk berebut kuasa tapi rakyat mati kelaparan.
Walau bagaimanapun, saudara Faisal amat menyokong inisiatif ini. Katanya lagi, “Inilah
yang ABIM nantikan, rakyat memberdayakan rakyat.” Benar, tidak dinafikan inisiatif ini sangat baik. Suatu inisiatif yang wajar dipuji dan disambut baik oleh rakyat. Tanda pagar rakyat untuk rakyat yang diwujudkan juga mempunyai seribu satu makna.
Namun di satu sudut lain, kita sendiri boleh menilai sikap dan kualiti yang ada dalam setiap pemimpin kita. Di mana mereka apabila rakyat kelaparan sehingga hampir hilang
kewarasan?
Kemunculan kuasa ketiga
Haji Badlishah juga turut bersetuju dengan pandangan yang dilemparkan oleh saudara
Faisal mengenai rakyat memberdayakan rakyat. Haji Badlishah juga ada menyebut bahawa entiti lain seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO) adalah rakan strategik ke arah pembentukan negara yang lebih baik.
Mungkin dengan adanya pihak ketiga ini, pihak kerajaan akan lebih cakna dengan keadaan semasa. Apabila kerajaan atau pemimpin seperti tidak berfungsi, ada entiti lain yang boleh membantu golongan yang memerlukan.
Namun, sejauh manakah pihak ketiga ini mampu bertahan? Cadangan atau polisi yang
dibawa oleh pihak ketiga ini mahu tidak mahu perlu sampai kepada pihak kerajaan untuk
direalisasikan.
Jika hal demikan tidak berlaku, maka terjadilah polisi atau cadangan yang hanya ditulis di
atas kertas.
Sampai bila?
Persoalannya, sampai bila kita hendak melihat pemimpin kita terus tamakkan kuasa dan
membiarkan rakyat menderita? Sudah jelas lagi bersuluh, sikap yang dipamerkan pemimpin kini kian melampau.
Ahli politik haruslah terdiri daripada mereka yang mempunyai political will (kemahuan politik) yang jitu, seorang yang kompeten dan berintegriti juga yang berjiwa rakyat, sentiasa meletakkan rakyat yang sebagai prioriti apatah lagi mereka dibayar beribu-ribu ringgit untuk menjaga rakyat.
Sebagai rakyat, kita pasti lelah dan muak dengan sikap pihak kerajaan yang membezakan
golongan kayangan dan marhaen. Lihat sahaja kes-kes pelanggaran SOP, tidak perlu
dibincangkan lagi, kita semua sedia maklum.
Jika anda marhaen seperti saya mungkin anda faham, jika anda golongan ‘kayangan’
mungkin anda akan buat-buat tidak faham.
Pemimpin perlu bertindak
Bak kata empat-empat ahli panel dalam forum Analisis ini, semua bersetuju bahawa krisis
yang dihadapi ini memerlukan solusi jangka pendek dan solusi jangka panjang.
Sayed Munawar selaku moderator ada menyebut, “In order for us resolved the short term
measure, we have to look long term perspective.”
Solusi jangka pendek adalah kerajaan kini harus menghasilkan satu pelan tindakan yang
tersusun dan mantap supaya penularan kes Covid-19 dapat dikawal.
Dalam hal ini, kerajaan dan pihak pembangkang harus berganding bahu menyelesaikan
kemelut ini. Lupakan sebentar agenda politik dan perebutan kuasa, tumpukan sepenuh
perhatian untuk memulihkan sistem kesihatan negara.
Jika penularan wabak ini dapat dikawal, rakyat boleh mulakan hidup seperti biasa. Ekonomi akan pulih secara perlahan-lahan, aspek sosial rakyat juga akan bertambah baik.
Rakyat juga harus berubah
Bagi solusi masa panjang pula, hal ini perlu bermula dengan perubahan mindset oleh rakyat sendiri. Adakah rakyat berani dan mahu melakukan perubahan?
Sepatutnya kita perlu mengambil iktibar daripada pandemik ini. Kita harus bijak memilih
pemimpin kita. Pada era ini, bukan lagi pemimpin yang suka menabur duit dan janji manis itu yang dicari tetapi yang perlu kita cari adalah pemimpin yang berjiwa rakyat.
Carilah pemimpin yang sentiasa turun padang menyantuni rakyat, tidak khianat dan tidak
tamakkan kuasa semata-mata, juga penting memilih pemimpin yang kompeten, berwibawa dan berintegriti.
Negara kita adalah negara demokrasi. Kita berhak memilih siapa pemimpin kita.
Gunakanlah hak kita dengan sebaik-baiknya. Kita perlu memilih pemimpin yang terbaik demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia