Jack Grealish. Foto www.mancity.com.

LONDON – Manchester City secara rasminya telah memperkenalkan Jack Grealish sebagai pemain baharu baharu dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta yang sekali gus menjadikan ia sebagai pembelian termahal buat pemain Inggeris.

Bekas ketua pasukan Aston Villa itu juga dilaporkan telah memeterai kontrak selama enam tahun dan diberikan jersi bernombor 10 yang ditinggalkan oleh penyerang dari Argentina, Sergio Aguero.

Pemain tengah itu akan menerima gaji mingguan sebanyak £370k dan menjadikan pemain England yang mempunyai gaji yang paling tinggi dalam sejarah bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perkembangan terbaharu itu bukanlah perkara mengejutkan buat para peminat kerana sebaik sahaja saingan Euro 2020 berakhir, nama Grealish sentiasa dikaitkan dengan juara EPL 2020/21 itu.

Aksi cemerlang dalam mengemudi jentera tengah Aston Villa dengan cukup baik jelas menarik minat Pep Guardiola untuk memperkuatkan skuad bimbingannya dalam menghadapi musim baharu.

Berusia 25 tahun, Grealish membuat 213 penampilan bersama Aston Villa dan berjaya menjaringkan 32 gol serta mencipta 43 bantuan jaringan.

“Saya sangat gembira dapat menyertai Manchester City.

“City merupakan kelab yang terbaik di negara ini dengan pengurus yang boleh dikatakan sebagai terbaik di dunia,” ujar Grealish menurut laman sesawang rasmi kelab tersebut. – MalaysiaGazette