Mohd Rosni.

GEORGE TOWN – Seorang peguam berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM259,900 lesap diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta polis.

Mangsa berusia 40 tahun yang juga peguam di sebuah syarikat guaman di Bukit Mertajam itu dikatakan menyerahkan semua wang tersebut selepas panik dan takut dengan tuduhan dirinya terlibat dengan kancah penagihan dadah serta mempunyai tunggakan pembayaran cukai pembukaan sebuah syarikat di Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa yang menetap di Sungai Petani, Kedah itu menerima panggilan pada Rabu lalu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN sebelum mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 susulan pembukaan sebuah syarikat di Melaka.

Kata beliau, mangsa menafikan perkara tersebut sebelum sindiket menyambungkan panggilan kepada dua pegawai polis berbeza kononnya untuk menerangkan selain kesalahan tunggang kan cukai mangsa turut mempunyai kes jenayah berkaitan dadah.

“Ketika berbual dengan suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Koh Fei Chew, mangsa diperdaya dengan alasan mampu membersihkan namanya sebelum diarahkan membuat pemindahan wang berjumlah RM259,900.

“Percaya akan tipu helah suspek, mangsa membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke tiga akaun bank berbeza.

“Selepas membuat pemindahan wang baru dia (mangsa) sedar dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Rosni, semakan ke atas nombor akaun Bank Hong Leong diberikan suspek dipercayai milik keldai akaun.

“Tiada laporan polis setakat ini atas nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut tiga laporan di Dato Keramat, Bukit Mertajam serta Nilai, Negeri Sembilan.

“Setakat ini, pihak polis sudah merakamkan keterangan mangsa dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan iaitu menipu.

“Sehubungan itu, saya ingin ingatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan sindiket kerana sebarang urusan kerajaan atau bank perlu dilakukan secara bersemuka bukan melalui panggilan telefon,” ujar Mohd Rosni. – MalaysiaGazette