BERNAS turut bekerjasama dengan Pengilang Bumiputera untuk melaksanakan program SMART SBB.

KUALA LUMPUR – Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi seluas 1.08 hektar di FELCRA Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, projek ternakan tersebut adalah kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta.

“Ia bertujuan meningkatkan pendapatan para pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

“Insiaitif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB. Justeru, tidak timbul isu kerajaan mengubah strategi pelaksanaan SMART SBB dengan penternakan udang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

MAFI merujuk kenyataan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) bertajuk ‘Projek Estet Smart SBB: Pesawah disaran berfikir panjang dan tolak’.

Jelas MAFI, program SMART SBB mendapat persetujuan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) adalah inisiatif MAFI yang dirangka bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Program SMART SBB dilaksanakan oleh jabatan dan agensi dibawah MAFI iaitu Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Kesemua jabatan dan agensi ini merupakan penyelaras selain bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar Kerajaan dan turut menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah dan sebagainya,” jelas kenyataan itu.

Proses penyemburan racun sedang giat dijalankan di SMART SBB BERNAS.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan program SMART SBB melibatkan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan.

Sehubungan itu, kepentingan dan kesejahteraan para pesawah dalam sektor padi dan beras negara sentiasa menjadi keutamaan MAFI.

Jelas MAFI lagi, dalam menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah-pesawah melalui jabatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan.

Pada masa sama MAFI berharap, usahasama daripada pihak awam dan swasta akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191 peratus dan seterusnya nilai pendapatan tahunan sehingga 47 peratus menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.

Jelas kenyataan itu lagi, hampir kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung pesawah akan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan margin pendapatan pesawah.

“Inisiatif ini juga membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar.

“Selain itu, masalah pemutuan sebanyak dua kali di kawasan yang mempunyai pusat belian padi dan menyebabkan kadar pemutuan yang tinggi juga dapat dielakkan melalui insiatif SMART SBB.

“Pada masa sama, pelaksanaan SMART SBB juga akan menghapuskan atau mengurangkan peranan orang tengah yang mengaut keuntungan atas angin dengan mengenakan caj perkhidmatan tinggi kepada pesawah bagi sewaan mesin dan jentera tanaman dan tuaian, pengawalan serangan makhluk perosak, pengangkutan padi dan sebagainya,” menurut kenyataan sama.

MAFI melalui jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa menjalankan pemantuan berterusan di lapangan bagi menjaga kepentingan dan kebajikan para pesawah yang merupakan kumpulan sasar utama kementerian. – MalaysiaGazette