BERA – Proses memusnahkan bom lama jenis Aerial Bomb 500lb MK IV zaman Perang Dunia Kedua yang ditemui di sini baru-baru ini selamat dimusnahkan hari ini.
Penolong Pengarah Pensenjataan Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, persiapan dan rancangan berjalan dengan lancar seperti yang diaturkan oleh Pasukan Unit Pemusnah Bom dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang dan ibupejabat Polis Daerah (IPK) Bera dan IPK Temerloh.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati dron Matrice 300 RTK milik Polis Diraja Malaysia juga berlegar di ruang udara memberi pengumuman akhir sebelum tembakan suis pertama dilakukan oleh Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin.
Kaedah yang digunakan dinamakan low order atau tekanan rendah bagi mengelak letupan yang lebih besar telah diatur sejak 3 Ogos lalu.
“Benteng yang didirikan daripada guni pasir setinggi 12 kaki dan melindungi kawasan utama letupan dan menahan lagi serpihan dan gelombang letupan lebih jauh.
“Selepas itu, tindakan memunahkan fius dan booster dilakukan 30 minit selepas letupan pertama dan berbunyi leputan pukul 11.53 mempunyai dentuman yang kuat.
“Alhamdulillah, pemusnahan sempurna dilaksanakan dan tiada sebarang serpihan dan kerosakan harta benda dilaporkan,” kata Mohammad Rafee.
Menurutnya, kerjasama penduduk kampung dan pemimpin setempat memudahkan pengurusan dan aktiviti pemusnahan bom dilakukan.
Seramai 123 keluarga terdiri daripada 500 penduduk di FELDA Triang 1 telah selamat dipindahkan ke Bangunan MRSM Bera dan dibolehkan pulang sejam proses letupan selesai.
Terdahulu, semalam, sekitar pukul 12.35 tengah hari sebuah bom Artillery 105mm berukuran 42 sentimeter, buatan British selamat dimusnahkan di ladang kelapa sawit Blok 10 Triang 1- MalaysiaGazette